Keluarga Azhar akan serahkan derma orang ramai kepada individu lebih memerlukan

Keluarga Azhar akan serahkan derma orang ramai kepada individu lebih memerlukan

am@hmetro.com.my

Kuantan: “Kami akan serahkan wang sumbangan sebanyak RM3,573 daripada orang ramai kepada mereka yang memerlukan kerana kerajaan sudah membantu kami melunaskan bil rawatan abang,” kata Norul Hanim Mohamad, 35.

Norul Hanim adalah adik kepada Azhar, yang sebelum ini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Korea Selatan, selepas diserang angin ahmar pada 31 Ogos 2021.

Selepas rawatan di negara itu, Azhar kemudian dibawa pulang ke Malaysia dengan bantuan dan sumbangan daripada pelbagai pihak.

Norul Hanim berkata, selepas berita mengenai mereka yang memerlukan RM94,153 untuk melunaskan baki bayaran bil rawatan Azhar, ramai pihak menghulurkan sumbangan.

“Kami sudah menerima sumbangan sebanyak RM3,573 dan ia akan diserahkan kepada pihak yang lebih memerlukan selepas kerajaan memutuskan untuk membayar sepenuhnya baki bayaran bil rawatan abang.

“Kami juga bersyukur pihak Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk meluluskan permohonan mengurangkan bayaran rawatan daripada RM94,153 kepada RM47,180.14.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sudah menghubungi saya memaklumkan pegawainya di Yayasan Taqwa akan menyelesaikan bayaran berkenaan minggu ini,” katanya ketika ditemui.

Sehubungan itu, katanya, mereka sekeluarga akan menyerahkan sumbangan orang ramai kepada mereka yang lebih memerlukan di daerah ini dalam masa terdekat.

Norul Hanim berkata, tabung sumbangan untuk Azhar juga akan ditutup.

“Saya bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan rakyat Malaysia yang berhati mulia memberi sumbangan secara berterusan.

“Dalam kes ini media (Harian Metro, BH, NST) menjadi penghubung antara kami dengan rakyat dan Menteri hingga bayaran bil rawatan abang dapat diselesaikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top