saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Keluarga kepada seorang rakyat Malaysia, Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, 24, yang kini ditahan di Toyamanishi, Jepun kini sedang berusaha untuk melantik seorang peguam sendiri dari Jepun bagi meneliti kes berkenaan secara terperinci.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini memandangkan akan ada pertuduhan ketiga dilakukan terhadap Muhammad Faiq Zafran pada 12 Mac ini.
Katanya, bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah pertuduhan berkenaan memandangkan prosedur pihak berkuasa Jepun, segala fakta kes hanya didedahkan kepada pihak peguam.
“Ketika ini, Faiq berada dalam tahan di balai polis berkenaan dan keadaan di situ tidaklah seteruk mana, cuma dari sudut makanan halal, mungkin agak susah untuk diperoleh.
“Mungkin dia hanya makan sayuran dan nasi sajalah, malah terdapat seorang lagi tahanan di dalam sel yang sama, juga tidak boleh bercakap bahasa Inggeris, jadi agak sukar untuk berkomunikasi,” katanya ketika dihubungi oleh BH, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Sebelum ini, Faiq berlepas ke Jepun pada November tahun lalu sebelum dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di negara itu, sekali gus membawa kepada penahanannya di Toyama.
Dimaklumkan, terdapat percanggahan maklumat berhubung tangkapan Faiq, termasuk laporan awal mendakwa beliau ditahan bersama wang dan emas bernilai sekitar RM500,000.
Faiq didakwa pada Januari lalu mengikut Seksyen 246 Kanun Keseksaan Jepun berkaitan penipuan serta Seksyen 60 bagi kesalahan dilakukan secara bersama.
Hishamuddin berkata, fokus MHO dan keluarga Faiq adalah untuk mendapatkan peguam sendiri bagi membela beliau dan jika proses pembelaan berjalan dengan baik, berkemungkinan ada tarikh lain untuk perbicaraan seterusnya.
“Ini memandangkan semua fakta kes yang dilaporkan agak mengelirukan iaitu sama ada Faiq ini ditangkap dengan barang bukti itu atau tidak.
“Malah dalam masa yang sama ahli keluarga berpendapat Faiq ini diekploitasi, namun terlalu awal untuk dibincangkan sebelum fakta kes sebenar dapat diketahui.
“Cuma buat masa sekarang, kita menghormati proses perundangan di Jepun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




