Keluarga janji jaga Pak Mail, JKM Kelantan pantau

Keluarga janji jaga Pak Mail, JKM Kelantan pantau

am@hmetro.com.my

Pasir Mas: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mengambil tindakan dengan memantau Pak Mail setiap hari selama seminggu selepas kes warga emas itu tular dipercayai diabaikan oleh keluarganya di Kampung Repek, di sini.

Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh, berkata mangsa yang berusia 79 tahun itu sudah mendapat rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM) dan dibawa balik semula ke rumah oleh ahli keluarga yang tidak mahu mangsa dihantar ke pusat jagaan warga emas.

Bagaimanapun katanya, JKM akan terus memantau secara dekat bagi mengenal pasti keperluan sebenar mangsa selain pihak keluarga juga sudah memaklumkan bahawa mereka mahu menjaga Pak Mail.

“Keluarga sudah berjanji untuk menempatkan warga emas terbabit di rumah salah seorang anaknya dan dijaga rapi tanpa pengabaian. Kakitangan JKM jajahan Pasir Mas akan membantu untuk melawat dan memantau mangsa buat sementara waktu.

“Selain itu, JKM akan terus mendapatkan kerjasama pihak hospital bagi mengenal pasti tahap kesihatan Pak Mail kerana dia dilaporkan sering keluar rumah tanpa hala tuju dan mengamuk. Tambahan pula, dia tidak mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) mahupun rawatan kesihatan mental.

“Kami juga dalam proses siasatan untuk memberi Bantuan Pesakit Terlantar yang mana akan menerima bantuan sebanyak RM500 sebulan jika dia berkelayakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, warga emas yang dipercayai diabaikan oleh keluarganya dengan membiarkannya berada dalam keadaan tidak terurus dibantu sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Kisah menyayat hati warga emas yang dikenali sebagai Pak Mail itu ditularkan aktivis, Abbe Hae, di media sosial miliknya dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top