am@hmetro.com.my
Tawau: “Sebagai memenuhi hasrat arwah, kami sekeluarga sepakat mengizinkan pihak hospital melakukan pembedahan bagi prosedur pendermaan kornea mata kakak,” kata Sanni Tajudin, 34, adik kepada Darna, 41, yang meninggal dunia dirempuh pemandu mabuk.
Darna menghembuskan nafas terakhir pada 8.37 pagi hari ini selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tawau.
Menurut Sanni, arwah sebelum ini pernah menyuarakan keinginan untuk menjadi penderma organ, selepas mengetahui dia berikrar bagi tujuan sama.
“Cuma arwah belum sempat daftar. Saya selalu cakap, tunggu kalau ada kempen pendermaan organ nanti daftarlah. Tak sangka akhirnya hasrat itu jadi kenyataan walaupun dia sudah tiada.
“Selain itu, arwah juga seorang penderma darah tegar, sangat suka membantu orang lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Tawau.
Katanya, keluarga turut berharap pihak polis meneruskan siasatan dan membawa pemandu pikap yang merempuh arwah ke muka pengadilan agar menerima hukuman setimpal.
Sementara itu, rakan karib Darna, Suarni Sudirman, 36, berkata, mereka merancang aktiviti joging bersama beberapa rakan lain, kira-kira dua minggu sebelum kemalangan pada 10 Ogos lalu.
“Arwah juga pernah tanya, ‘kalau dia meninggal dunia, adakah orang akan datang ziarah?’ Saya tegur jangan cakap sembarangan, tapi dia terus sebut, ‘mungkin dia akan pergi ketika berlari sebab itu minatnya’.
“Dia juga kata ‘tentu dia yang akan jalan dulu’. Saya tidak sangka kata-kata itu jadi kenyataan,” luahnya hiba.
Suarni yang juga bekas jururawat berkata, sebelum kejadian, arwah sempat berpesan supaya mereka memakai baju warna putih dan merakam gambar serta video sekerap mungkin sebagai kenangan.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Kelab Pelari Tawau (Tawau Runners), Sudirman Nanang menyifatkan arwah sebagai seorang yang periang, aktif dalam acara larian dan sentiasa menyokong setiap program kelab.
“Semalam kami sempat mengadakan Jualan Amal dan berjaya mengutip RM9,335 bagi membantu meringankan beban keluarganya, namun tidak sangka pagi ini kami menerima khabar duka bahawa arwah sudah pergi selamanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd