am@hmetro.com.my
Alor Setar: Keluarga salah seorang penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di perairan kawasan Pantai Merdeka, Sungai Petani Sabtu lalu berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan laporan penuh dan terperinci berhubung siasatan insiden itu.
Kee Ching Ching, 46, yang juga ibu saudara Joey Ling Lin Siang, 20, berkata siasatan juga perlu dilaksanakan secara telus terutama membabitkan prosedur operasi standard (SOP) ketika melakukan aktiviti berkayak.
“Kami mahukan maklumat berkaitan dengan aktiviti khususnya membabitkan keselamatan dan SOP yang lengkap.
“Kami juga mahu tahu lokasi kejadian itu sesuai untuk dilaksanakan aktiviti seperti berkayak dan berharap supaya KPM dapat membuat penilaian semula terhadap silibus membabitkan aktiviti luar kelas, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini malam tadi.
Selain itu, dia juga berharap supaya insiden seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang.
Terdahulu sebelum itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu keluarga dua penuntut terbabit dan memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Christopher Ling Jia Siang, 21 tahun, dan Joey Ling Lin Siang, 20, di HSB, malam tadi.
Selain itu lebih 100 pelajar IPG Kampus Perlis serta tenaga pengajar dan pihak pengurusan IPG Kampus Perlis turut hadir di HSB untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jasad kedua-dua mendiang.
Dalam pada itu, jasad mendiang dua penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pendidikan Jasmani IPG Kampus Perlis itu dibawa keluar dari hospital ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna kira-kira 11.15 malam tadi.
Mendiang Jia Siang dan Lin Siang seterusnya akan dibawa pulang masing-masing ke Kuching dan Sibu, Sarawak hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat lemas apabila kayak yang dinaiki mangsa terbalik dipukul ombak dan arus deras ketika melakukan aktiviti berkayak bersama lebih 30 penuntut IPG Kampus Perlis.
Mangsa ditemukan tersangkut pada jaring nelayan tempatan dalam keadaan masih memakai jaket keselamatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




