am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Keluarga pempengaruh media sosial, Rambo Castello yang kini ditidurkan di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta, Indonesia, sejak 5 Oktober lalu, berharap pihak kerajaan dan kedutaan Malaysia dapat bantu membawa pulang penjawat awam itu.
Anak ketiganya, Hafizul Fazli, 30, berkata, bapanya, Ahmad Radzli Che Ngah, 59, perlu dibawa pulang segera bagi memudahkan keluarga menguruskannya.
Katanya, dia bersama ibu, Asiah Abdullah, 55, kini menginap di hotel bajet di Jogjakarta untuk bergilir-gilir menjaga bapa.
“Kami terpaksa menaiki grab setiap hari untuk ke hospital. Keadaan ini agak sukar kerana memerlukan pelbagai kos termasuk bayar hotel dan tambang kenderaan.
“Jika ayah dibawa pulang dan dirawat di hospital berdekatan rumah, ia memudahkan ibu, saya dan adik-beradik yang lain untuk bergilir-gilir menjaga ayah di hospital.
“Justeru, saya harap pihak kerajaan atau kedutaan Malaysia dapat bantu membawa pulang ayah selepas kami mendapat kebenaran daripada doktor pakar di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hafizul berkata, dia ada berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia di Jakarta dan memaklumkan keadaan bapanya.
Katanya, bapanya masih ditidurkan dan berharap dia akan sedar serta dapat dibawa pulang segera.
“Saya akan bertanya kepada doktor pakar mengenai keadaan ayah dan apa peralatan kesihatan yang diperlukan di dalam kapal terbang bagi membawa pulang ayah.
“Saya harap mendapat keputusan positif dan ayah dapat dibawa pulang pada masa terdekat serta boleh dirawat di hospital berdekatan rumah,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Rambo Castello atau Cikgu Li kini ditidurkan di Rumah Sakit Sardjito, selepas diserang sakit jantung pada 5 Oktober lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




