Keluarga Sabari takkan maafkan suspek sampai bila-bila

Keluarga Sabari takkan maafkan suspek sampai bila-bila

am@hmetro.com.my

Baling: Perbuatan kejam yang dilakukan suspek terhadap Sabari Baharom, 62, sehingga sanggup mencampak mangsa ke dalam sungai, tidak akan dimaafkan keluarga mangsa sampai bila-bila.

Anak bongsu Sabari, Muhammad Amir Hakimi, 25, berkata, dia sudah melihat wajah suspek dan pernah berjumpa sebelum ini, namun dia takkan memaafkan lelaki itu.

Katanya, dia berharap keadilan akan berpihak kepada mereka sekeluarga, malah akan melantik peguam ketika perbicaraan di mahkamah nanti bagi memastikan suspek mendapat hukuman yang setimpal kerana memberi tekanan emosi kepada mereka sekeluarga.

“Apalah salah ayah saya kerana dia sudah berusia dan tidak mampu melawan kudrat suspek yang jauh lebih muda daripadanya.

“Saya tahu ayah tidak akan melawan jika diapa-apakan, jadi saya takkan maafkan dia sampai bila-bila sekalipun dia memohon maaf kerana ayah tiada gantinya, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang di sini hari ini.

Muhammad Amir Hakimi berkata, mereka sekeluarga juga sudah melakukan solat hajat dan bacaan Yasin termasuk di masjid supaya keadilan akan memihak pada keluarganya.

“Bukan kami saja hilang ayah, tetapi penduduk kampung juga terkejut dan sedih termasuk jemaah Masjid Al Mutmainnah, Kuala Pegang kerana ayah selalu pergi ke masjid menunaikan solat lima waktu di situ.

“Sampai bila-bila pun saya serta dua kakak (Suraiya Izzati, 29, dan Nur Aina Sofiya, 28) akan ingat kejadian ini kerana kami hilang ayah, tempat kami menumpang kasih,” katanya.

Muhammad Amir Hakimi berkata, kalau boleh dia tidak mahu teringat langsung wajah suspek kerana ia hanya membuatkan dirinya berasa geram.

“Ketika polis meminta saya buat pengecaman suspek sebelum ini, saya memang tidak mahu melihat lama-lama muka dia sebab trauma teringat orang yang bunuh ayah kami.

“Kalau boleh saya nak lupakan wajah dia, walaupun dalam kepala masih ingat lagi muka dia, saya rasa dendam dengan dia, kalau boleh saya tak mahu ingat supaya tak ganggu masa depan kami,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun pada 27 September lalu dan hasil siasatan itu mendapati Sabari dipercayai dicampak di Sungai Padang Terap, Kampung Empa di Wang Tepus, Jitra selepas tangannya diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top