khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rata-rata peniaga di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit mengeluh kurangnya pelanggan yang hadir selepas gerai di Jalan Lorong Muhibbah dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada April lalu.
Peniaga, Khusnul Rozy Ahmad Rusdarno, 30, berkata, walaupun selepas perobohan itu perniagaan di sekitar kawasan Chow Kit dilihat teratur, tetapi pelanggan yang hadir bertambah kurang.
“Selepas perobohan gerai itu, keadaan kedai nampak teratur tapi orang tidak berapa ramai berbanding dahulu.
“Orang ramai juga makin berkurang disebabkan terdapat sebuah bangunan di sebelah Chow Kit itu tutup. Saya berpandangan jika ia dibuka, mungkin pelanggan akan bertambah.
“Selain itu, promosi yang dilakukan secara kerap oleh DBKL juga akan membantu orang ramai datang di sini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pada pertengahan April lalu, DBKL merobohkan gerai di Jalan Lorong Muhibbah berhampiran Pasar Chow Kit berikutan pasar itu dikatakan menjadi pusat perniagaan membabitkan warga asing Indonesia dan Myanmar.
Difahamkan, premis itu dirobohkan untuk membina laluan masuk ke tapak projek pembangunan baharu Chow Kit Fasa Tiga.
Seorang lagi peniaga, Anita Fitriajeni Najin, 39, turut bersetuju kurangnya pelanggan untuk datang dan perniagaannya tidak memperoleh sebarang keuntungan selepas perobohan itu.
Selain itu katanya, dia juga perlu membayar sebanyak RM6,000 untuk dua lot kedai yang disewanya.
“Selama tujuh bulan saya berniaga di sini, hanya lepas bayar gaji pekerja, sewa, dan pusingan modal sahaja.
“Setakat tujuh bulan ini, saya tak peroleh sebarang keuntungan. Saya juga cuba untuk bertahan berniaga di sini sampai raya tahun hadapan.
“Kalau saya tak mampu, terpaksa keluar dari sini dan mencari tempat yang mampu untuk membayar (kos sewa) disebabkan kosnya tinggi sangat,” katanya.
Menurutnya, walaupun boleh berpindah ke Kompleks Jalan Raja Bot yang baharu, tetapi faktor keadaan tempat yang membuatnya tidak mahu menyewa di kawasan itu.
“Kalau pindah di lokasi baharu, kawasan itu tertutup dan kena naik tangga. Dari satu segi, kita nak angkat barang pun susah kerana hanya ada eskalator sahaja, lif tidak ada,” katanya.
Peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Rashidin Sanusi, 28, turut mengeluh apabila peniagaannya semakin sepi dan hanya ramai apabila tiba hujung minggu.
“Sejak perobohan, separuh orang kurang datang ke sini. Sebagai contoh kalau dahulu, sehari saya berniaga boleh dapat RM1,000 tetapi sekarang hanya RM500 sahaja.
“Saya pun tak tahu nak buat apa. Kita ikut sahaja aturan dibuat oleh pihak DBKL,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




