
Letshanaa mengejutkan pemain Jepun dalam aksi pertama Terbuka AS di Iowa awal pagi Khamis. Foto Agensi.
KEM perseorangan badminton negara melakar kejutan dalam saingan awal Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Iowa awal pagi Khamis.
Pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh bermula cemerlang, namun K Letshanaa dan Wong Ling Ching turut mencuri tumpuan dalam saingan yang berlangsung di Council Bluffs itu.
Justin yang berkedudukan ke-43 dunia hanya memerlukan 27 minit untuk menewaskan Julien Carraggi dari Belgium 21-10, 21-10 pada pusingan pertama kejohanan berstatus Super 300 tersebut.

Justin akan berdepan pemain Taiwan dalam saingan pusingan kedua Terbuka AS di Iowa awal pagi Jumaat. Foto Agensi.
Letshanaa dan Ling Ching pula mengejutkan lawan yang menghuni ranking lebih tinggi berbanding mereka.
Pemain nombor 50 dunia, Letshanaa memperagakan corak permainan bertenaga untuk mengalahkan pilihan kelapan dan juara dunia 2017, Nozomi Okuhara 21-8, 21-19 dalam masa 31 minit.
Walaupun pemain Jepun berusia 30 tahun itu tidak lagi memiliki kekuatan seperti dahulu – ketika bergelar nombor satu dunia dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016, namun kemenangan itu tetap menjadi pencapaian besar buat Letshanaa.
Ling Ching juga tidak kurang hebat apabila mengejutkan pemain nombor 30 dunia dan pilihan keempat Hsu Wen Chi dari Taiwan 21-17, 19-21, 22-20 dalam pertempuran selama 66 minit.
Kejayaan tersebut membakar semangat dan menjadi kemenangan paling bermakna dalam karier pemain nombor 96 dunia itu.
Pada pusingan kedua, Letshanaa akan menentang pemain ke-49 dunia, Aakarshi Kashyap dari India untuk merebut tempat ke suku akhir.
Ling Ching pula berharap dapat meneruskan momentum positif apabila bakal berdepan Kaloyana Nalbantova dari Bulgaria yang berada di kedudukan nombor 75.
Dalam pada itu, Justin turut mengintai peluang untuk layak ke suku akhir apabila dijadual bertemu pemain nombor 76 dunia dari Taiwan, Liao Jhuo Fu pada pusingan kedua.