am@hmetro.com.my
Kulim: Identiti tiga mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Kob, di sini, hari ini disahkan seorang bapa dan dua anak lelakinya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, mangsa adalah Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25, seorang pekerja kilang serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan Muhammad Syazwan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.
Beliau berkata, polis menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah Proton S70 dan Perodua Viva, jam 5.15 petang.
“Lelaki yang juga pemandu Perodua Viva serta dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada Proton S70 yang hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Viva.
“Pemandu kereta Proton S70 berusia 27 tahun adalah pekerja bengkel kereta dan kecederaan yang dialaminya masih dalam pemeriksaan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Mohd Faisal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim dan akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
“Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu kemudian dibawa ke Balai Trafik Kulim untuk urusan Puspakom, ” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, tiga dilaporkan meninggal dunia termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Sungai Kob, di sini hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




