suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis mengesahkan video tular mengenai kemalangan di Jalan Kuchai Lama di sini, berlaku pada 8 Disember lalu yang mengorbankan penunggang motosikal berusia 25 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan kejadian dan menerima maklumat penularan video kamera papan pemuka memaparkan kejadian di platform TikTok.
Katanya, kejadian kira-kira 12.30 tengah malam dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda RS150 sedang melalui selekoh apabila dirempuh kereta Honda City dipandu lelaki berumur 38 tahun dari arah Sri Petaling.
“Akibat kemalangan mangsa parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada 7.11 pagi 9 Disember,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Zamzuri berkata, kertas siasatan awal yang dibuka mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 41(1) akta sama.
Katanya lagi, keterangan pemandu kereta sudah direkodkan dan kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian termasuk pemilik rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Salehuddin Musa di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



