firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia menyifatkan kejayaan melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sebagai hasil kerja keras yang dibina sejak sedekad lalu.
Menurut Garcia, kejayaan itu membuktikan segala usaha, pengorbanan dan disiplin tinggi yang diterapkan dalam kelab akhirnya membuahkan hasil apabila JDT muncul kelab Malaysia pertama mara ke kelompok lapan terbaik Asia.
Skuad Harimau Selatan mencipta sejarah selepas menyingkirkan wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima dengan keputusan agregat 3-2 pada pusingan 16 terbaik, semalam.
Garcia berkata, pencapaian itu bukanlah penamat kepada perjalanan JDT, sebaliknya menjadi pemangkin untuk pasukan terus melangkah lebih jauh di pentas Asia.
“Kamu semua sudah mencipta sejarah. Layak ke suku akhir dan berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Asia adalah hasil daripada kerja keras selama bertahun-tahun.
“Namun ini bukan penghujung perjalanan. Setiap usaha, pengorbanan dan disiplin yang kamu semua curahkan akan membuahkan hasil. Terus percaya dan terus berjuang,” katanya di laman Facebook (FB) miliknya.
Ujarnya lagi, persiapan lebih jitu akan dirangka bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia apabila bermain di suku akhir nanti.
“Yang terbaik masih belum tiba,” kata bekas pemain kebangsaan Sepanyol dan beberapa kelab terkemuka antaranya pernah menyarung jersi Barcelona dan Liverpool itu.
Ketika ini, JDT dan tiga lagi pasukan iaitu Buriram United dari Thailand serta dua kelab Jepun, Machida Zelvia dan Vissel Kobe layak ke suku akhir dari Zon Asia Timur.
Manakala empat lagi pasukan dari Zon Asia Barat akan diketahui sebaik selesai saingan peringkat 16 terbaik dari zon itu yang kini ditangguhkan seketika ekoran ketegangan ketenteraan membabitkan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Untuk rekod, pencapaian terbaik JDT di pentas Asia sudah tentunya ketika menjuarai Piala AFC (saingan kelas kedua) pada 2015 selepas menundukkan kelab Uzbekistan, FC Istiklol di final dengan keputusan 1-0.
© New Straits Times Press (M) Bhd




