Kemarau babit kebun kurma, tasik, mata air

Kemarau babit kebun kurma, tasik, mata air

Kemunculan Dajjal didahului tanda tertentu. Selain kemunculan Imam al-Mahdi dan peristiwa al-Malhamah al-Kubra, ada beberapa lagi tanda disebut dalam beberapa hadis. Antaranya tiga tempat pernah dipertanyakan Dajjal kepada Tamim ad-Dari RA dan rakannya sewaktu mereka terdampar di pulau tempat Dajjal dipenjara. Pertama, mengenai kebun kurma Baisan (kini disebut Beit She’an, terletak dalam jajahan‎ Israel). Kedua, mengenai tasik Tabariyyah (kini dipanggil tasik Galilee atau Tiberias, juga terletak dalam jajahan‎ Israel). Ketiga, mengenai mata air Zughar (juga disebut Zoara, sebuah tempat berdekatan Laut Mati di Jordan).

Dalam riwayat berkenaan, Dajjal bertanya kepada mereka: “Khabarkan kepadaku mengenai kebun kurma Baisan.” Mereka membalas: “Keadaan bagaimana yang kamu ingin tahu tentangnya?” Dajjal menjelaskan: “Aku mahu bertanya kamu tentang kebun kurmanya, adakah ia masih berbuah?” Mereka menjawab: “Ya, masih berbuah.” Dajjal pun berkata: “Akan hampir masanya nanti ia tidak lagi berbuah.” Dajjal bertanya lagi, “Khabarkan kepadaku mengenai tasik Tabariyyah.” Mereka membalas: “Keadaan bagaimana yang kamu ingin tahu tentangnya?” Dajjal menjelaskan: “Adakah masih lagi ada airnya?” Mereka menjawab: “Ia masih banyak airnya.” Dajjal pun berkata: “Akan hampir masanya nanti air tasik itu akan kering.” Dajjal bertanya lagi: “Khabarkan kepadaku pula tentang mata air Zughar.” Mereka membalas: “Keadaan bagaimana yang kamu ingin tahu tentangnya?” Dajjal menjelaskan: “Adakah masih ada air pada mata air itu? Dan adakah penduduknya masih bercucuk tanam dengan airnya?” Mereka menjawab: “Ya, masih banyak airnya dan penduduknya juga masih bercucuk tanam dengan airnya.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan realiti, ketiga-tiga tempat tersebut sehingga kini belum kering. Kemungkinan hadis ini berkait rapat dengan hadis mengenai kemarau dahsyat sebelum kemunculan Dajjal sehingga pohon kurma habis mati serta tasik dan mata air kering.

Diriwayatkan daripada Abu Umamah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya sebelum keluarnya Dajjal ada tiga tahun yang dahsyat di mana manusia ditimpa kebuluran melampau. Allah akan memerintahkan langit pada tahun pertama agar menahan satu pertiga hujannya dan memerintahkan bumi agar menahan satu pertiga tumbuhannya. Kemudian, Allah akan memerintahkan langit pada tahun kedua agar menahan dua pertiga hujannya dan memerintahkan bumi agar menahan dua pertiga tumbuhannya.

Kemudian, Allah memerintahkan langit pada tahun ketiga agar menahan semua hujannya sehingga tiada setitik yang turun dan memerintahkan bumi agar menahan semua tumbuhannya sehingga tiada satu pokok hijau pun yang tumbuh. Maka, tiada seekor binatang yang tinggal melainkan ia akan binasa kecuali apa-apa yang dikehendaki oleh Allah.” Ada yang bertanya: “Lalu, bagaimanakah manusia hidup pada zaman itu?” Jawab baginda: “(Dengan) tahlil, takbir, tasbih dan tahmid yang berfungsi bagi mereka itu seumpama makanan.” (Riwayat Ibnu Majah)

Makna hadis ini disokong hadis Asma’ binti Yazid al-Ansariyyah RA yang dalam hadisnya beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami demi Allah, hanya menguli tepung kami dan tidak membakarnya sehinggalah kami lapar. Maka, bagaimanakah dengan golongan Mukminin pada waktu itu?” Nabi SAW menjawab: “Akan mencukupi bagi mereka sebagaimana mencukupi bagi penduduk langit dengan hanya bertasbih dan bertakdis (menyucikan Allah).” (Riwayat Ahmad. Hadis hasan li-ghairih)

Peristiwa kemarau tiga tahun berturut-turut ini bencana luar biasa sehingga mengakibatkan semua tumbuhan habis mati serta semua tasik dan sungai habis kering. Pada masa itu, makanan hanya tinggal sedikit dan kebuluran terjadi secara berleluasa. Adapun golongan Mukminin, maka makanan dan sumber tenaga mereka ialah dengan berzikir kepada Allah SWT. Hadis ini secara tidak langsung menunjukkan amalan berzikir bukan sahaja memberi manfaat rohani, bahkan memberi manfaat jasmani.

Antara tanda lain sebelum kemunculan Dajjal ialah pembukaan Konstantinopel. Diriwayatkan daripada Mu’az ibn Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pemakmuran Baitul Maqdis merupakan tanda keruntuhan Yathrib (Madinah), keruntuhan Yathrib merupakan tanda tercetusnya al-malhamah, tercetusnya al-malhamah merupakan tanda pembukaan Konstantinopel, pembukaan Konstantinopel merupakan tanda munculnya Dajjal” (Riwayat Abu Dawud). Makna hadis ini disokong hadis Abu Hurairah RA sebelum ini mengenai al-malhamah al-kubra, iaitu Nabi SAW bersabda: “Kemudian, satu pertiga lagi akan memperolehi kemenangan. Mereka tidak akan ditimpa sebarang fitnah selamanya. Lalu, mereka akan menakluki Konstantinopel.” Kemudian, Baginda menyebut tentang kemunculan Dajjal. (Riwayat Muslim)

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top