am@hmetro.com.my
Kota Tinggi : Kemarau berpanjangan sejak lebih dua bulan lalu menyebabkan Sungai Ulu Sedili Kecil di sini, kering mengakibatkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Lok Heng terhenti hingga menjejaskan sebanyak 4,042 akuan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata Sungai Ulu Sedili Kecil adalah sumber utama bekalan air mentah ke LRA Lok Heng yang menyalurkan bekalan kepada kawasan Gugusan Felda Lok Heng, Gugusan Felda Waha, Felda Bukit Waha dan Felda Bukit Easter.
“Kemarau berpanjangan menyebabkan paras air Sungai Ulu Sedili Kecil menyusut dengan ketara sehingga operasi LRA Lok Heng tidak dapat diteruskan.
“Situasi ini memberi kesan kepada lebih 4,000 akaun pengguna di kawasan Felda Lok Heng, Waha, Bukit Waha dan Bukit Easter,” katanya selepas meninjau keadaan sungai berkenaan, hari ini.
Katanya, kapasiti LRA Lok Heng sudah dinaik taraf daripada 5.4 juta liter sehari (MLD) kepada 9.0 MLD pada tahun 2023 bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku khususnya ketika musim perayaan.
Namun, katanya, usaha mendapatkan sumber alternatif melalui pembinaan Horizontal Collector Wells (HCW) yang mampu membekalkan sehingga 4 MLD air bawah tanah juga tidak dapat dimanfaatkan ketika ini.
Menurutnya, kaedah ini tidak berjaya dilaksanakan kerana kemarau kali ini terlalu ekstrem sehingga sumber air bawah tanah juga terjejas.
Beliau berkata, pihak Ranhill SAJ turut melaksanakan pemindahan air sebanyak 4 MLD dari Sungai Lukah ke Sungai Ulu Sedili Kecil sebelum ini, namun usaha itu kini tidak lagi berkesan kerana Sungai Lukah turut mengalami kekeringan.
“Air di Sungai Lukah juga semakin masin berikutan kemasukan air laut melalui muara sungai akibat kemarau berpanjangan,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah memohon bantuan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan Waha, Lok Heng dan Gembut dalam masa terdekat.
Sebagai langkah segera, beliau berkata sebanyak 10,000 botol air mineral disediakan untuk diagihkan kepada penduduk terjejas dan jumlah itu akan ditambah dari semasa ke semasa.
Selain itu, sebanyak 25 tangki statik turut ditempatkan di lokasi strategik dengan 14 lori tangki bergerak digunakan bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.
“Empat lokasi kaedah ‘inline injection’ juga diwujudkan iaitu dua di Lok Heng dan dua di Waha bagi membolehkan air dipam terus dari tanker ke sistem paip melalui pili bomba.
“Saya juga telah meminta pihak Ranhill SAJ menambah lokasi ‘inline injection’ khususnya di kawasan hujung bekalan agihan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid dalam kenyataan berasingan berkata, solat sunat taubat dan memohon hujan (Istisqa’) akan dilaksanakan secara berjemaah bermula esok.
Katanya, ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor melalui Pejabat Kadi Daerah Kota Tinggi di semua masjid dan surau serta di empangan atau loji rawatan air yang berkenaan di daerah Kota Tinggi.
“Ini berikutan keadaan taburan hujan yang amat rendah khususnya di kawasan Felda Lok Heng dan Sungai Gembut yang menjejaskan sumber bekalan air di kawasan itu.
“Usaha ini dilaksanakan sebagai ikhtiar memohon ke hadrat Allah SWT agar kawasan yang terjejas dikurniakan hujan, seterusnya memastikan pusat tadahan air dipenuhi dengan bekalan air yang bersih dan mencukupi bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan yang terjejas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




