am@hmetro.com.my
Bukit Kayu Hitam: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan tujuh warga asing ke negara ini kerana didapati bukan pelancong tulen.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, penolakan masuk dilakukan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, semalam.
Menurutnya, sebanyak tujuh Notis Penolakan Masuk (NPM) dikeluarkan terhadap tujuh warga asing terbabit.
“Kesemua mereka ditolak masuk mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia.
“Mereka terdiri daripada seorang lelaki warga Thailand, lima lelaki warga India, lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.
“Tujuh warga asing itu diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan penolakan masuk itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikuat kuasakan.
Katanya, tiada rampasan dilakukan dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti.
© New Straits Times Press (M) Bhd