Kematian pelajar tahfiz: Mungkin berdepan cabaran, kekangan sebab kes sudah lama – Peguam kanan

Kematian pelajar tahfiz: Mungkin berdepan cabaran, kekangan sebab kes sudah lama – Peguam kanan

nfazlina@natp.com.my

Kota Bharu: Siasatan kematian pelajar tahfiz Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai mangsa bunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013 berkemungkinan berdepan cabaran dan kekangan disebabkan faktor masa.

Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan, bagaimanapun berkata, untuk kes jenayah di Malaysia, tiada tempoh had masa untuk menuduh pelaku ke mahkamah walaupun sudah berbelas tahun.

“Apa yang penting adalah kenal pasti tertuduh atau suspek dalam kes ini.

“Mungkin pada pandangan saya akan terdapat cabaran dan kekangan kepada pihak terbabit kerana faktor masa.

“Namun begitu jika terdapat bukti sampel DNA pada pakaian, pada peralatan digunakan mangsa atau di tubuh mangsa sendiri mungkin ia adalah relevan bagi tujuan perbicaraan.

“Begitu juga jika terdapat kesan cap jari pihak ketiga di tempat kejadian atau di tubuh dan pakaian mangsa juga adalah relevan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau percaya bukti bukti yang ada masih disimpan selamat oleh pihak pegawai penyiasat meskipun kejadian sudah lama berlaku.

“Tidak ada keraguan saya terhadap integriti pegawai penyiasat. Motif sebelum kejadian termasuk hubungan mangsa dengan rakan rakan termasuk jika ada unsur buli atau dendam boleh juga dikemukakan di mahkamah kelak.

“Saya berdoa agar Allahyarham Wan Ahmad Faris mendapat keadilan dan pelaku dapat dihukum atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris yang dipercayai mangsa bunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013 menyerahkan surat kepada polis Bukit Aman kelmarin.

Peguam, Dr Zulqarnain Lukman, dilaporkan berkata surat berkenaan dihantar bagi memohon Bukit Aman membuka semula kertas siasatan kes kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top