Kematian Truper Indiran: Ibu curiga punca kematian, anak sihat, ceria sehari sebelum kejadian

Kematian Truper Indiran: Ibu curiga punca kematian, anak sihat, ceria sehari sebelum kejadian

am@hmetro.com.my

Kuantan: Ibu kepada Truper K Indiran, 22, terkilan kerana hasrat anaknya mengikut jejak langkah mendiang bapanya sebagai juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjadi wira negara tidak kesampaian.

Ia berikutan Indiran disahkan meninggal dunia selepas 24 jam ditemukan tidak sedarkan diri di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, di sini, semalam.

S. Usha, 52, berkata ketika kejadian anaknya itu sedang berkursus di di kem itu dan dia dimaklumkan Indiran ditemukan tidak sedarkan diri jam 2.15 petang kelmarin di bilik penginapan di kem terbabit dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Selepas mendapat maklumat saya bergegas ke HTAA tetapi dia disahkan meninggal dunia jam 4 petang semalam.

“Saya dimaklumkan proses bedah siasat terhadap mayat anak saya sudah dilakukan pakar Jabatan Perubatan Forensik, HTAA.

“Hasil bedah siasat didapati tiada sebarang unsur kecederaan fizikal dialami anak saya dan polis mengklafikasikan kematian dia sebagai mati mengejut (SDR).

“Saya terima keputusan itu tetapi amat curiga dan ingin tahu punca anak saya meninggal dunia kerana sehari sebelum ditemukan tidak sedarkan diri dia sihat dan ceria,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Indirian adalah anak bekas juruterbang TUDM Mejar C Kayamboo, yang terbunuh akibat nahas pesawat jenis Beechraft B200T di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 2016.

Ketika kejadian itu Indirian berusia 12 tahun dan anak sulung wira TUDM itu menyertai Tentera Darat sejak 2024.

Usha berkata, kali terakhir beliau menghubungi anaknya menerusi panggilan video pada malam 17 Februari lalu dan dimaklumkan sedang membuat barbeku di kem.

“Agak terkejut sehari sebelum itu anak saya sihat ceria dan kelihatan sangat gembira tetapi semalam sudah meninggal dunia,” katanya.

Mayat Indiran dituntut waris kira-kira jam tiga petang, selepas proses bedah siasat dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik HTAA, selesai.

Mayatnya kemudian dibawa pulang ke Pulau Pinang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang, Pulau Pinang, bersebelahan pusara mendiang bapanya.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata anggota tentera terbabit dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri pada 18 Februari di kem terbabit dan dikejarkan ke HTAA di sini untuk rawatan lanjut dan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang semalam.

Katanya, proses bedah siasat dilakukan di Jabatan Perubatan Foresik, HTAA mendapati tiada kesan kecederaan fizikal dan kerosakan organ dalaman dialami anggota berkenaan.

“Punca kematian anggota terbabit belum dapat dipastikan, polis sedang menunggu laporan kimia dan setakat ini kes kematian itu diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top