Kembali jalani hidup seperti 50 tahun lalu

Kembali jalani hidup seperti 50 tahun lalu

BANDAR GAZA – Bagi Abdullah Mortaja, keputusan Israel memotong bekalan elektrik di Genting Gaza ternyata ‘satu gurauan’ kerana penduduk Palestin sudah pun terbiasa bergelap sejak perang genosid tercetus lebih 15 bulan lalu.

“Bekalan elektrik apa yang mahu mereka potong? Hakikatnya mana ada bekalan elektrik di sini,” ujar guru berusia 40 tahun itu.

Pengumuman Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen selepas sekatan dikenakan ke atas penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak memberi makna apa-apa buat Mortaja.

Cohen memberi alasan mahu menggunakan apa jua cara untuk memberi tekanan kepada Hamas bagi membebaskan baki tawanan di enklaf berkenaan.

Hamas menyifatkan keputusan Cohen sebagai ‘peras ugut yang tidak boleh diterima’ sedangkan mereka masih ‘terikat’ dengan fasa seterusnya bagi perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.

Difahamkan, hanya satu talian elektrik dengan voltan tinggi disambung semula Tel Aviv pada November lalu bagi membolehkan kemudahan utama penyahgaraman di wilayah itu dapat beroperasi seperti biasa.

Pada Isnin lalu, pekerja di kompleks di bandar Deir al-Balah tersebut bertindak segera mengisi tangki besar dengan air telah dirawat sebelum pemotongan itu dilaksanakan.

Kira-kira 600,000 penduduk atau satu perempat daripada penduduk Gaza bergantung kepada bekalan air minuman dari loji tersebut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan panel solar bersama penjana bahan api telah menjadi sumber utama bekalan elektrik di Gaza dan ia amat terhad untuk aktiviti di kemudahan penyahgaraman.

Oleh itu, kebanyakan penduduk Palestin kini bergantung kepada air perigi payau atau bekalan air bersih yang diagihkan kumpulan bantuan.

Derita berterusan

Kempen pengeboman ganas di seluruh Gaza menyebabkan hampir seluruh tiang elektrik runtuh dan binasa.

Jurucakap Syarikat Elektrik Gaza memaklumkan serangan Israel telah memusnahkan kira-kira 70 peratus rangkaian elektrik hingga menyebabkan keadaan menjadi gelap gelita pada waktu malam.

Hab soket elektrik yang disediakan untuk penduduk mengecas telefon bimbit.

Hab soket elektrik yang disediakan untuk penduduk mengecas telefon bimbit.

Beberapa bangunan yang separa musnah ketika ini hanya diterangi cahaya lampu diod pemancar cahaya (LED).

“Tindakan memotong bekalan elektrik hanya akan memburukkan lagi penderitaan kami,” kata Jihan Khalil, 35, yang berlindung di bangunan sekolah di kem pelarian Nuseirat.

Bagi Baha al-Helou, 47, ia seperti kembali menjalani hidup seperti 50 tahun lalu.

“Waktu malam kami tanpa cahaya lampu, cuci pakaian dengan tangan dan masak menggunakan kayu api. Kami bergantung penuh kepada lilin dan kayu api,” ujarnya lagi.

Selain itu, penjana bahan api turut menjadi alternatif biasa buat penduduk Gaza selama bertahun-tahun memandangkan bekalan elektrik amat terhad akibat kepungan haram Israel.

Bekalan elektrik Israel ke Gaza juga bergantung kepada pembayaran daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpusat di Tebing Barat.

Tukang kayu, Hani Ajour berkata, dia tiada pilihan lain kecuali menggunakan penjana awam.

“Pilihan itu agak mahal dan hanya boleh digunakan selama beberapa minit pada setiap hari,” jelasnya.

Sesetengah penduduk Gaza bergantung kepada panel solar yang kurang efisien dan dijual dengan harga agak tinggi kira-kira AS$2,000 (RM8,826).

Penjual di tepi jalan juga menawarkan perkhidmatan mengecas telefon bimbit pada kabel berbilang soket dengan harga yang jauh lebih murah. – AFP

Scroll to Top