Kembali ke Malaysia

Kembali ke Malaysia

lizamridzuan@hmetro.com.my

Selepas beberapa kali dilancarkan, akhirnya Indian Motorcycle, jenama motosikal yang tertua dari Amerika Syarikat kembali diperkenalkan di Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu untuk segmen motosikal berkuasa besar tempatan.

Pelancaran rasmi terbabit dikendalikan oleh Spirit Lake Motor Sdn. Bhd iaitu anak syarikat AFY Mobility Industries (AMI) yang kini memegang status pengedar eksklusif Indian Motorcycle untuk pasaran tempatan.

Majlis pengenalan kepada jenama ini berlangsung di Petaling Jaya baru-baru ini dan menarik perhatian komuniti dua roda serta media tempatan yang hadir menyaksikan kemunculan semula nama ikonik ini.

Indian Motorcycle yang diasaskan pada 1901 di Springfield, Massachusetts terkenal dengan legasinya sebagai pelopor dalam rekaan motosikal Amerika, khususnya menerusi model dengan enjin V-twin yang digunakan seawal abad ke-20.

Jenama ini juga mempunyai kaitan rapat dengan sejarah ketenteraan Amerika apabila membekalkan lebih 50,000 motosikal kepada angkatan tentera ketika Perang Dunia Pertama.

Nama Spirit Lake Motor diambil sempena lokasi kilang Indian Motorcycle di Iowa, Amerika Syarikat iaitu sebagai satu penghormatan kepada tapak asal pembuatan model legenda ini.

Bermula dengan model klasik seperti Scout dan Chieftain, Indian Motorcycle kini tampil dengan variasi moden berteknologi tinggi yang terus mengekalkan identiti retro-Americana yang kuat.

Ketika majlis pelancaran ini, beberapa model juga dipamerkan kepada umum, antaranya termasuk Chieftain Dark Horse, Springfield Dark Horse, serta barisan lengkap keluarga Scout seperti Rogue dan Bobber Twenty.

Menurut wakil Spirit Lake Motor, pengenalan rasmi Indian Motorcycle ini bukan sekadar membawa jenama antarabangsa ke Malaysia, tetapi turut merangkumi perkhidmatan selepas jualan, alat ganti, sokongan teknikal, jaminan serta aksesori sah.

Ketika ini, operasi Indian Motorcycle Malaysia dijalankan dari AMI Showroom di PJ222, Petaling Jaya sebagai pusat pameran sementara.

Spirit Lake Motor turut merancang membuka sebuah pusat 3S yang lengkap merangkumi jualan, servis dan alat ganti dan menjelang hujung tahun ini bagi memberikan pengalaman lebih eksklusif kepada pelanggan.

Pusat ini juga akan berfungsi sebagai hab komuniti untuk pemilik dan peminat Indian Motorcycle dengan tumpuan terhadap aktiviti gaya hidup dan program komuniti.

Pihak pengurusan menekankan bahawa Indian Motorcycle Malaysia dibangunkan dengan asas pengalaman industri yang kukuh serta kepercayaan terhadap pertumbuhan jangka panjang segmen ‘cruiser’ di Malaysia.

Pengurus Jenama Indian Motorcycle Malaysia, Lai Wai Keat berkata, penekanan diberikan kepada nilai warisan, keberanian serta semangat ‘cruiser’ yang menjadikan Indian Motorcycle sebagai simbol budaya permotoran Amerika yang masih relevan hingga kini.

“Kami percaya bahawa jenama ini mampu mewujudkan satu ekosistem penunggang yang kukuh dan bersatu seperti yang dilihat di Amerika dan Eropah,” katanya ketika majlis pelancaran.

Tambah beliau lagi, menerusi pengenalan semula jenama ini, pasaran motosikal tempatan dilihat semakin berkembang dengan kemasukan lebih banyak jenama antarabangsa yang menawarkan pilihan lebih luas kepada peminat motosikal berkuasa besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top