am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menerima apa jua keputusan yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti berhubung penyertaannya semula dalam UMNO.
Khairy berkata, beliau difahamkan permohonannya itu akan dibentang dan diputuskan MKT pada 17 April depan.
“Berkenaan dengan status saya (permohonan menyertai semula UMNO) saya sudah jumpa dengan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum Hari Raya (tempoh hari).
“Saya dimaklumkan pada 17 April ini, permohonan itu akan dibentang di MKT dan akan diputuskan juga pada hari sama.
“Apa sahaja keputusan yang dibuat parti, saya terima,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui menghadiri Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di sini, malam ini.
Terdahulu, beberapa bekas pemimpin UMNO termasuk Khairy dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan menghantar permohonan untuk menyertai parti keramat itu pertengahan bulan lalu.
Sebelum ini, Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung keahliannya selama enam tahun.
Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Khairy dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penggantungan dan pemecatan pemimpin UMNO itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.
Ditanya mengenai desas-desus mendakwa Khairy bakal bertanding dalam Parlimen Kepala Batas, beliau berkata ia terlalu awal untuk dibincangkan apatah lagi masih menunggu keputusan menyertai semula UMNO.
“Saya baru nak masuk balik UMNO ini, jadi saya rasa terlalu awal untuk kita bincang soal nak bertanding kerusi mana.
“Saya pun minta keahlian lama saya di bahagian Sungai Buloh… Itu pertama.
“Yang kedua ini, yang nak menentukan siapa bertanding di mana pun, di bawah Barisan Nasional (BN) mestilah Pengerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Jadi, kita tak bolehlah mendahului perkara terbabit, tetapi yang ketiga, yang paling penting bagi sayalah, Kepala Batas ini, waktu Allahyarham Tun Abdullah (Pak Lah) ada lagi, dia pesan pada kami.
” Kami ini berdua anak buah dia, saya menantu dia, Reezal ini anak politik dia, dia pesan pada kami, Kepala Batas ini biar Reezal yang jaga jadi takkanlah saya tak menghormati keputusan dan hajat orang tua saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




