mohamadridzuan@hmetro.com.my
SELEPAS 14 tahun band Cokelat kini kembali menghiburkan peminat di Kuala Lumpur.
Kumpulan asal Bandung, Indonesia yang dianggotai Kikan (vokalis), Edwin (gitar), Ernest (gitar), Ronny (bass) dan Ervin (dram) ini memilih menjayakan Konsert Cokelat Kembali yang dijadualkan September ini di Zepp Kuala Lumpur.
Tidak dinafikan Cokelat antara kumpulan terbaik yang mengukir nama dalam industri hiburan rantau Asia Tenggara.
Deretan album dan lagu popular mereka berjaya meletakkan band ini sentiasa segar dalam ingatan peminat.
Kumpulan rock alternatif yang ditubuhkan pada 1996 ini mula menghasilkan album pertama berjudul Untuk Bintang pada tahun 2000 diikuti beberapa album mengandungi lagu baru dan kompilasi sehingga 2016.
Dalam tempoh itu juga terdapat beberapa perubahan dan pertukaran anggota dalam band terbabit.
Antara lagu-lagu popular mereka adalah Karma, Segitiga, Luka Lama, Ku Pilih Dia, Pergi, Jauh dan banyak lagi.
Mereka mengambil keputusan untuk ‘berpisah’ selama 12 tahun sebelum kembali bersatu dua tahun dulu menerusi persembahan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 2022.
Melalui media sosial, mereka muat naik hantaran video kembalinya Kikan dan Ervin.
Malah, berita itu menjadi khabar gembira buat seluruh peminat Cokelat yang merindukan formasi terbaik band itu.
Kikan mewakili Cokelat berkata, mereka cukup teruja dan melakukan persediaan sebaik mungkin untuk menghiburkan peminat di Malaysia.
“Seperti semua tahu, kali terakhir Cokelat membuat persembahan di Malaysia adalah pada 14 tahun yang lalu.
“Memang sudah cukup lama. Kami berharap persembahan ini dapat mengubat rindu peminat-peminat setia. Terima kasih kami ucapkan kepada semua peminat di Malaysia.
“Kami juga sangat rindukan Malaysia yang sudah kami anggapkan seperti rumah kedua Cokelat,” katanya.
Sementara itu, penganjur konsert merangkap Pengarah Tanjak Global Services, Rosden Rahmat berkata, persembahan berkenaan adalah kejutan dan hadiah buat peminat Cokelat.
“Tanjak Global Services juga ingin menawarkan kepelbagaian dan pilihan konsert hiburan yang berlainan buat rakyat Malaysia, bukan sekadar menjemput artis atau band yang sama pada setiap tahun.
“Ahli kumpulan Cokelat secara peribadi juga sangat rapat dengan Malaysia dan teruja untuk bekerjasama lagi bersama kami di masa akan datang.
“Berita baik buat peminat Cokelat juga yang mana, kedua pihak sudah berbincang untuk berkolaborasi dalam beberapa perancangan dan program yang sudah disusun,” katanya.
Tiket menyaksikan konsert Cokelat dari harga RM139 hingga RM380 boleh didapati di laman web ubertikets.asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd
