Kembalikan ahli Parlimen ke peranan asal

Kembalikan ahli Parlimen ke peranan asal

PETALING JAYA: Ahli Parlimen perlu kembali kepada peranan asal sebagai penggubal undang-undang, pembentuk dasar dan pengawas kerajaan, bukan sekadar menjadi pusat aduan atau ‘pegawai kebajikan’ di kawasan masing-masing.

Peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, penghakisan sempadan antara peranan ahli Parlimen dengan pentadbiran awam merupakan antara perkara yang wajar dikritik dalam sistem politik negara ketika ini.

Katanya, ahli Parlimen sepatutnya memberi tumpuan kepada menggubal undang-undang, membahaskan dasar kerajaan, meluluskan peruntukan serta melaksanakan fungsi semak dan imbang.

“Namun dalam realiti, mereka sering terpaksa menghabiskan banyak masa menguruskan masalah kebajikan pengundi seperti bantuan kewangan, rumah, pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan masalah infrastruktur.

“Keadaan ini sebenarnya tidak sihat. Kebajikan rakyat ialah tanggungjawab kerajaan yang dilaksanakan melalui kementerian, jabatan dan agensi awam,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Zainul Rijal, penjawat awam mempunyai struktur, kepakaran, peruntukan dan mekanisme untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Justeru, katanya, sekiranya setiap masalah rakyat perlu dibawa kepada ahli Parlimen sebelum mendapat perhatian kerajaan, keadaan itu menunjukkan terdapat kelemahan dalam sistem penyampaian awam.

“Sudah tentu Ahli Parlimen tidak boleh bersikap tidak peduli terhadap masalah rakyat. Mereka perlu mendengar aduan, membawa isu tersebut ke Parlimen dan memastikan kementerian serta agensi berkaitan mengambil tindakan.

“Tetapi peranannya sepatutnya memastikan sistem bekerja untuk rakyat, bukan mengambil alih tugas sistem tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku masalah seperti jalan rosak, jabatan yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan, manakala jika bantuan tidak sampai kepada golongan yang memerlukan, mekanisme kebajikan perlu diperbaiki.

Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, ahli Parlimen perlu dikembalikan kepada peranan strategik mereka sebagai penggubal dasar, pembentuk undang-undang dan pengawas kerajaan.

“Demokrasi yang matang bukan apabila ahli Parlimen mampu menyelesaikan semua masalah pengundi, tetapi apabila sistem pentadbiran mampu memberikan hak dan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mereka perlu bergantung kepada pengaruh seseorang ahli Parlimen,” katanya. – UTUSAN 

Scroll to Top