KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak supaya mengembalikan segera Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana sistem percukaian itu jelas lebih telus dan cekap berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, fakta ketika ini jelas menunjukkan kutipan dibuat melalui sistem percukaian yang dimansuhkan tersebut jauh lebih baik.
“Kalau wakil DAP sendiri sudah berani menyebut GST, mengapa PMX masih takut kepada tiga huruf ini?
“Namun tidak mengapa, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pemuda UMNO mengucapkan terima kasih. Tidak salah berpatah balik apabila akhirnya kita kembali ke jalan yang betul.
“Hendak dinamakan Madani Tax sekalipun, gunalah. Kami bukan macam pembangkang zaman Datuk Seri dulu. Kalau benda tu baik, kami sokong. Kalau benda tu tak baik, kami akan tentang habis-habisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata, kerajaan terbuka untuk mengkaji keperluan menggabungkan SST dan GST bagi menambah baik sistem percukaian negara ke arah lebih progresif.
Menurut Anwar, kerajaan perlu mengambil kira kelebihan kedua-dua sistem berkenaan dan melakukan penyesuaian dengan keadaan semasa.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, keputusan kerajaan mengumumkan kesediaan mengkaji sistem yang menggabungkan unsur terbaik antara kedua-dua sistem percukaian tersebut jelas menunjukkan ‘pintu mula dibuka’.
“Kalau dahulu pintu ditutup rapat tetapi hari ini dibuka sedikit demi sedikit, apakah namanya kalau bukan perubahan pendirian? Dan terbaru, Ahli Parlimen Kepong daripada DAP, Lim Lip Eng sendiri menyarankan supaya GST dikembalikan sekiranya lebih berkesan daripada SST.
“Katanya, kerajaan tidak perlu mencipta sistem hibrid yang rumit semata-mata mahu mengelakkan nama GST,” katanya.
