am@hmetro.com.my
Alor Setar: Pulau Langkawi perlu dikembalikan sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati seperti dahulu bagi memastikan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan utama negara terus kekal kompetitif.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, usaha itu penting dalam merancakkan semula sektor pelancongan di pulau berkenaan yang berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan infrastruktur dan aksesibiliti.
Titah baginda, meskipun status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal namun terdapat keistimewaan yang dikurangkan.
“Beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan termasuklah pelaksanaan kadar cukai kepada kenderaan yang dihadkan, cukai-cukai kepada produk yang berasaskan tembakau, serta lain-lain barangan.
“Sehubungan itu, beta menyeru Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan-keistimewaan yang dinikmati seperti sebelum ini,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat ke-15, di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Bermula tahun ini, kerajaan mengehadkan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi hanya untuk kenderaan bernilai RM300,000 ke bawah.
Langkah itu bertujuan menyekat penyalahgunaan kemudahan bebas cukai oleh pihak yang membeli kereta mewah dengan kenderaan melebihi nilai itu tidak lagi menikmati status bebas cukai sepenuhnya.
Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut berharap pihak berwajib dapat meneliti serta menambah baik sistem pengangkutan feri ke Pulau Langkawi yang amat terhad ketika ini disebabkan isu harga diesel industri yang melonjak tinggi.
Baginda bertitah, kesan daripada isu berkenaan membawa kepada kemerosotan kemasukan pelancong yang mana akan turut menjejaskan pendapatan pengusaha dan peniaga di Pulau Langkawi serta menjejaskan perhubungan penduduk di situ.
“Antara inisiatif yang boleh diambil Kerajaan Persekutuan adalah semakan dan kajian semula kadar subsidi diesel yang diberikan kepada pengusaha feri di Langkawi.
“Usaha ini amat penting bagi memastikan potensi sebenar Langkawi dapat direalisasikan sepenuhnya sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan negara,” titah baginda.
Baginda bertitah, pembangunan di Pulau Langkawi yang berkembang pesat sebagai destinasi pelancongan utama negara wajar disokong dengan penyediaan infrastruktur yang mencukupi dan berdaya tahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




