Kembara dengan gaya

Kembara dengan gaya

lizamridzuan@hmetro.com.my

PASARAN skuter tempatan kini menerima satu lagi tambahan pilihan menerusi pengenalan model SYM ADXTG 400 oleh SYM Malaysia yang dilancarkan, baru-baru ini.

Mengetengahkan gaya skuter pengembaraan, ia didatangkan dengan ciri kuasa, kestabilan dan keselesaan sama ada untuk kegunaan harian atau tunggangan jarak jauh.

Paling menarik ia ditawarkan pada harga di bawah RM30,000 yang hadir dengan tiga pilihan warna iaitu kelabu gelap, putih dan kelabu.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399cc, 4-lejang SOHC dengan sistem penyejukan cecair menjana kuasa maksimum 34.5 kuasa kuda (hp) pada 7,000 rpm dan tork 37.2Nm pada 5,500 rpm.

Ia juga dengan sistem suntikan bahan api menggunakan teknologi Closed Loop EFI, disertakan dengan konfigurasi piston 83 milimeter (mm) x 73.8mm serta nisbah mampatan 10.5:1 yang membantu memastikan enjin beroperasi secara efisien tanpa mengorbankan prestasi.

Untuk sistem transmisi, model ini menggunakan sistem automatik jenis CVT dengan klac automatik, sekali gus memudahkan penunggang mengendalikannya tanpa perlu menukar gear secara manual.

Ciri unik lain, penghantaran kuasa ke roda belakang menggunakan rantai, berbeza daripada kebanyakan skuter konvensional yang menggunakan tali sawat.

Kedudukan enjin di bahagian tengah jentera membantu dalam memberikan kestabilan tunggangan, terutamanya apabila melalui permukaan jalan yang tidak rata atau mencabar.

Ciri ini memberikan nilai tambah terutama kepada penunggang yang mengutamakan imbangan berat jentera.

Untuk aspek keselamatan, SYM ADXTG 400 dilengkapi Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan sistem brek anti-kunci (ABS) di kedua-dua roda. Ciri ini menjadi standard dalam penawaran motosikal moden bagi memastikan kawalan lebih baik dalam pelbagai keadaan jalan.

Untuk keselesaan, motosikal ini dilengkapi suspensi hadapan jenis teleskopik sepanjang 140mm serta suspensi belakang monoshock 115mm.

Kerangka pula diperbuat daripada paip keluli jenis underbone yang memberi ketahanan struktur semasa membelok atau menunggang dalam kelajuan tinggi.

Ciri lain ditawarkan termasuk pelindung angin boleh laras, dua unit pelindung tangan (handguard), serta sistem kunci pintar yang menyumbang kepada pengalaman menunggang lebih praktikal.

Untuk segi saiz fizikal, SYM ADXTG 400 berukuran 2,166 milimeter (mm) panjang, 920mm lebar dan 1,460mm tinggi dengan jarak roda 1,535mm serta jarak kelegaan tanah 160mm.

Tempat duduk setinggi 790mm pula direka agar sesuai untuk majoriti ketinggian penunggang di Asia Tenggara.

Model ini turut menampilkan sistem pelinciran jenis ‘forced circulation’ dan ‘splash lubrication’ bagi memastikan enjin sentiasa optimum dengan pengedaran minyak berkesan.

Kapasiti tangki minyak pula 13 liter, sesuai untuk perjalanan jarak jauh tanpa perlu kerap mengisi semula.

Bagi sistem membrek, brek cakera tunggal dipasang di kedua-dua roda dengan diameter 275mm di hadapan dan 233mm di belakang yang dipadankan dengan tayar tubeless bersaiz 120/70-15 di hadapan dan 150/70-14 di belakang untuk cengkaman yang stabil.

Menerusi aspek pencahayaan, SYM ADXTG 400 dilengkapi lampu LED sepenuhnya termasuk lampu hadapan, lampu isyarat, lampu brek dan lampu belakang. Pencahayaan terang ini bukan sahaja memberi penglihatan jelas, tetapi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Panel meter jenis LCD moden dipasang bagi memaparkan pelbagai informasi penting kepada penunggang manakala sistem pencucuhan jenis transistor penuh membantu memastikan enjin dapat dihidupkan dengan cepat dan konsisten.

Di bahagian bawah tempat duduk, ada ruang simpanan sebesar 32 liter, cukup besar untuk menyimpan peralatan menunggang atau barangan harian.

Skuter ini mampu mencapai sudut membelok sehingga 41 darjah dan mendaki bukit dengan sudut maksimum 27 darjah.

Secara keseluruhan, SYM ADXTG 400 antara pilihan dalam segmen skuter berkuasa tinggi dengan fokus kepada gaya penggembaraan dan teknologi praktikal yang dilihat mampu memenuhi keperluan penunggang moden yang menginginkan keseimbangan antara prestasi, keselamatan dan keselesaan.

Menerusi pelbagai ciri teknikal yang ditawarkan, model ini mungkin menarik minat golongan pengguna yang sedang mencari alternatif kepada skuter konvensional dalam lingkungan kapasiti enjin 400cc.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top