Kembara solo ke 32 negara selama 736 hari guna Kenari

Kembara solo ke 32 negara selama 736 hari guna Kenari

Kuantan: Seorang pereka media digital melakar sejarah negara apabila berjaya menamatkan pengembaraan solo sejauh 46,000 kilometer (km) merentasi 32 negara dalam tempoh 736 hari.

Jack Voon Kuet Fui, 49, membuktikan kehebatan jentera nasional apabila melakukan pengembaraan luar biasa itu hanya dengan memandu Perodua Kenari berusia 20 tahun.

Anak jati Sarawak itu memulakan perjalanannya dari ibu negeri ini pada 1 Mei 2024 dan menamatkan ekspedisi penjelajahan dunianya secara rasmi, kelmarin.

Kejayaan itu membolehkan beliau mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia dengan kereta buatan tempatan.

Voon berkata, dia menabung lima tahun sebelum memulakan perjalanan dan membelanjakan hampir RM600,000 untuk misi berkenaan.

“Sifat ingin tahu mendorong saya melakukan perjalanan ini. Saya banyak membaca mengenai negara luar namun hanya melihat melalui media.

“Trip ini membuka mata saya kerana belajar banyak perkara. Semasa di Eropah, saya melakukan persembahan jalanan (busking) menggunakan sape (alat muzik tradisional Sarawak) untuk mengumpul dana,” katanya ketika ditemui di Menara Kuantan 188 di sini, semalam.

Voon berkata, dia turut berpeluang mempromosikan Malaysia di luar negara termasuk menghabiskan masa tiga bulan di China pada 2024 sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Aksinya di sana mendapat perhatian dan disiarkan beberapa saluran televisyen antarabangsa.

Menceritakan rutinnya, Voon biasanya memandu lapan jam sehari dengan purata jarak 300 km dan tidur di dalam khemah atas bumbung kereta serta memasak sendiri bagi menjimatkan kos.

“Selepas meninggalkan Malaysia pada Mei 2024, saya memandu melalui Thailand dan meneruskan perjalanan merentasi Asia, Afrika, Amerika Selatan dan Eropah sebelum Chile menjadi persinggahan terakhir,” katanya.

Sepanjang perjalanan, beliau turut berdepan detik cemas termasuk kehilangan wang dan beg berisi rakaman perjalanan dicuri di dua negara berbeza di Amerika Selatan.

“Di Afrika pula, saya berdepan situasi bahaya apabila ada individu sengaja mahu merebahkan diri ke arah kereta saya semata-mata untuk menuntut pampasan namun saya berjaya mengelak.

“Secara keseluruhan, kebanyakan orang saya temui peramah dan banyak membantu,” katanya yang bersyukur dapat kembali ke tanah air dengan selamat bersama Kenarinya.

Dia turut menghargai sokongan kerajaan Pahang termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man serta rakan-rakan yang membantunya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top