
Hun Manet sewaktu bercakap melalui telefon dengan Anwar.
SHAH ALAM – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet tampil memberikan penjelasan berhubung pendirian negaranya terhadap cadangan gencatan senjata yang diusulkan oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Hun Manet, kenyataan itu dibuat bagi menjawab beberapa laporan yang tidak jelas dalam pelbagai saluran berita antarabangsa mengenai pendirian rasmi Kemboja susulan pertempuran antara tentera Kemboja dan Thailand di sepanjang sempadan.
“Petang semalam, pada 24 Julai 2025, Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi ASEAN meminta saya bercakap melalui telefon untuk membincangkan pertempuran antara tentera Kemboja dan Thai di sepanjang sempadan.
“Beliau menyatakan kebimbangannya terhadap konflik dan keinginannya untuk gencatan senjata segera bagi memberi laluan kepada penyelesaian antara kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook rasminya.
Hun Manet memaklumkan, beliau telah menjelaskan kepada Anwar bahawa Kemboja bersetuju dengan cadangan itu kerana mereka tidak memulakan pertempuran berkenaan.
Tambahnya, jawapan awal yang diterima daripada Anwar selepas bercakap dengan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bahawa pihak Thailand telah bersetuju dengan cadangan gencatan senjata dan menetapkan jam 12 tengah malam pada 24 Julai sebagai masa untuk kedua-dua pihak menghentikan pertempuran.
“Bagaimanapun, amat dikesalkan apabila lebih sejam kemudian, pihak Thailand memaklumkan bahawa mereka telah mengubah pendirian daripada bersetuju dengan gencatan senjata pada 12 pagi pada 24 Julai 2025 kepada tidak bersetuju dan menunggu tarikh kemudian.
“(Datuk Seri) Anwar Ibrahim amat maklum akan situasi ini,” kata Hun Manet.
Sebelum ini, ASEAN melalui Malaysia selaku Pengerusi, menyeru agar konflik diselesaikan secara damai mengikut semangat Piagam ASEAN dan tidak menjejaskan kestabilan serantau.