Kemelut makin rumit? Tuanku Muhriz dijangka pulang, mahu selesai masalah secara baik

Kemelut makin rumit? Tuanku Muhriz dijangka pulang, mahu selesai masalah secara baik

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dijangka pulang ke Negeri Sembilan malam ini bagi melihat dan menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku di negeri berkenaan.

Baginda dalam keadaan baik

Memetik laporan daripada Harian Metro, perkara itu dimaklumkan Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

“Tuanku Muhriz, tiada apa-apa berlaku. Kebawah Duli balik pada malam ini 9.50 malam insya-Allah. Baginda balik untuk melihat dan ingin menyelesaikan masalah ini kerana kita jelas dan tahu apa yang dimaklumkan oleh pihak DKU (Dewan Keadilan Undang).
“Sebagai seorang yang sangat rapat dan berjiwa rakyat, tuanku memang ingin menyelesaikan kemelut ini dengan baik dan mengikut undang-undang yang ada,” katanya.
Kemelut makin rumit? Tuanku Muhriz dijangka pulang, mahu selesai masalah secara baik

Foto: Sinar Harian

Kepulangan baginda berlaku ketika kemelut berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semakin menjadi perhatian.

Semalam, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan menyatakan Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim kemudian mengesahkan keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh semua ahli Exco dalam mesyuarat pada 15 September.

Walau bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan pada hari ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah serta tiada kekosongan jawatan atau pengganti selagi jawatan berkenaan dipegang secara sah.

DKU turut menyatakan MMKN dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan Proklamasi atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar, selain menggesa semua pihak menghormati prosiding yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban.

Sumber: Harian Metro (Mohd Iskandar Ibrahim dan Nurul Hidayah Bahaudin)

Scroll to Top