nurul.hidayah@hmetro.com.my
Bandar Baru Bangi: Kemelut membabitkan kerajaan Negeri Sembilan dengan institusi Diraja perlu diselesaikan segera sama ada melalui saluran perundangan atau mengikut adat bagi memastikan kestabilan negeri dan kepentingan rakyat terus terpelihara.
Peguam, Liyana Marzuki berkata, mahkamah wajar menjadi tempat untuk menentukan penyelesaian berlandaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sekiranya pertikaian itu tidak dapat dirungkaikan melalui rundingan.
“Kebuntuan antara kerajaan negeri dengan institusi Diraja pastinya menimbulkan kebimbangan terutama berhubung kelangsungan pentadbiran negeri dan keperluan mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Justeru itu, semua pihak perlu mengutamakan kestabilan negeri dan mengelakkan kemelut itu berlarutan sehingga menjejaskan pentadbiran serta membuka kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi ahli panel dalam forum di Program Dialog Ummah 2.0: Memperkukuh Institusi Diraja, Mensejahterakan Ummah, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan penyelesaian dicapai sebelum tamat tempoh Februari 2027 selepas PRN tamat pada Ogos lalu, beliau berkata, kedua-dua pihak perlu mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat dalam mencari jalan keluar.
Katanya, antara kemungkinan yang boleh dipertimbangkan ialah Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi mempersembahkan senarai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu untuk mendapatkan perkenan baginda.
“Perlantikan Menteri Besar baharu juga boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan dengan mengambil kira bahawa Barisan Nasional (BN) masih menjadi parti yang memerintah negeri itu selepas memperoleh mandat rakyat dalam PRN pada Ogos lalu.
“Jika hubungan (antara Menteri Besar dengan institusi Diraja) sudah tidak mempunyai keserasian, kita berharap BN dapat mempertimbangkan calon lain.
“Tidak semestinya hanya seorang individu yang boleh menjadi Menteri Besar kerana mungkin ada calon lain yang dapat membantu meredakan keadaan,” katanya.
Beliau turut berpandangan kemelut berkenaan sudah melangkaui penyelesaian dalaman berasaskan adat apabila isu itu semakin meluas sehingga membabitkan mahkamah, Kerajaan Persekutuan dan pihak politik.
Justeru itu, beliau berkata, semua pihak perlu menghormati peranan institusi berkaitan serta memastikan pertikaian diselesaikan oleh pihak berautoriti sama ada melalui saluran adat atau perundangan.
“Jika melalui saluran undang-undang, mahkamah ialah pihak yang berkenaan. Kita berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Jika prosiding mahkamah mengambil masa terlalu lama, saya berpandangan kes ini wajar dipercepatkan kerana ia membabitkan kepentingan awam,” katanya.
Menurutnya, perselisihan antara mana-mana pihak tidak seharusnya menyebabkan kepentingan rakyat diketepikan, sebaliknya semua pihak perlu kembali kepada semangat kenegaraan.
“Pada akhirnya, siapa pun yang berselisih faham sama ada dalam kalangan ahli politik atau pihak dalam lingkungan kerabat Diraja, kepentingan negeri dan kebajikan rakyat mesti diutamakan.
“Itu adalah tujuan pemerintahan iaitu menjaga kebajikan rakyat dan memastikan negeri terus stabil,” katanya.
Krisis Perlembagaan dan pentadbiran di negeri beraja tradisi Minangkabau itu bermula sejak April 2026 dan kini menghampiri penentuan penting apabila batas masa yang diperuntukkan undang-undang semakin singkat
DUN Negeri Sembilan masih belum bersidang sejak pilihan raya negeri pada awal Ogos lalu berikutan kemelut institusi diraja berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




