ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Semua petugas barisan hadapan kesihatan serta keselamatan perlu kekal fokus terhadap perang menentang COVID-19, dan tidak terkesan dengan sebarang kemungkinan yang berlaku akibat kemelut politik.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata petugas barisan hadapan perlu kekal dengan tekad berkhidmat untuk rakyat dan negara walau apa jua yang berlaku, termasuk kemungkinan pertukaran kerajaan.
“Saya berharap semua agensi kerajaan, terutama petugas barisan hadapan sama ada Kementerian Kesihatan (KKM), polis mahupun tentera yang menangani COVID-19, tidak terlalu kisah dengan kemelut politik.
“Kita tumpu sepenuhnya kepada pengurusan COVID-19 kerana sudah mula nampak sinar kemenangan. Jangan terpengaruh dengan orang politik.
“Petugas barisan hadapan lebih penting untuk memastikan kesihatan dan nyawa rakyat serta pembukaan semula ekonomi negara. Tiada guna difikirkan siapa jadi Perdana Menteri, seandainya kes kekal tinggi.
“Kekalkan tekad berkhidmat untuk rakyat, negara dan Yang di-Pertuan Agong. Walau siapa pun kerajaan, tumpuan kita ialah menangani COVID-19,” katanya kepada BH, hari ini.
Sementara itu, pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata strategi kesihatan awam dan program vaksinasi yang sedang berjalan, tetap perlu diteruskan walaupun jika berlaku pertukaran kerajaan.
Berdasarkan situasi krisis politik tahun lalu, katanya, dasar sedia ada membabitkan saringan kes baharu, pengesanan kontak rapat, kuarantin dan vaksinasi boleh terus dilaksanakan oleh penjawat awam.
Bagaimanapun, beliau khuatir mengenai beberapa perkara yang memerlukan kelulusan peringkat tertinggi, seperti penyaluran peruntukan bagi pembelian kelengkapan perubatan mungkin terganggu atau tertangguh jika berlaku pertukaran kerajaan.
“Kita juga bimbang jika perolehan vaksin membabitkan kerajaan dengan negara luar atau syarikat farmaseutikal yang belum selesai dan memerlukan kelulusan peringkat tertinggi, akan terjejas.
“Beberapa keputusan terbaru juga mungkin terkesan, seperti pengesanan digital, perolehan vaksin tambahan, keputusan membuka sekolah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




