Mont Ventoux: Pelumba tuan rumah, Valentin Paret-Peintre meraih kemenangan pertamanya di pentas Tour de France (TdF) apabila menewaskan wakil Ireland, Ben Healy dalam perlumbaan mendebarkan ke garisan penamat di puncak Mont Ventoux pada peringkat ke-16, hari ini.
Di belakang mereka, perebutan jersi kuning menyaksikan Jonas Vingegaard mencabar pendahulu keseluruhan, Tadej Pogacar secara berterusan.
Namun juara bertahan itu kekal tenang dan mengekori rapat pesaing dari Denmark itu sepanjang pendakian sejauh 15km, sekali gus menambah dua saat lagi kepada kelebihan sedia ada.
Memulakan peringkat dengan ketinggalan 4 minit 13 saat, Vingegaard melakukan serangan dengan baki 9km lagi untuk mendaki Mont Ventoux, kawasan tandus yang menyerupai landskap bulan di bahagian atasnya.
Namun segala tumpuan tertumpu kepada perebutan kemenangan peringkat antara Healy dari EF dan Paret-Peintre dari Soudal Quick-Step, yang memberikan kegembiraan kepada penyokong tuan rumah dalam edisi TdF yang berlangsung sepenuhnya di bumi Perancis.
Pasukan Visma dan Vingegaard sudah mencuba pelbagai cara untuk menggugat bintang Team UAE itu, tetapi Pogacar yang berusia 26 tahun tetap tenang meskipun ditinggalkan keseorangan tanpa sokongan rakan sepasukan sejak awal pendakian, bukti kekuatan mental dan fizikalnya di laluan yang sudah sinonim dengan kisah-kisah dramatik dalam sejarah TdF.
Di sinilah Chris Froome pernah berlari mendaki ketika menunggu bantuan mekanikal, dan legenda Eddy Merckx juga pernah memerlukan bantuan oksigen di puncak ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd