Nottingham: Pep Guardiola memberi amaran kepada pemain-pemain Manchester City bahawa kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) tidak akan “jatuh dari langit” selepas kekalahan pahit 0-1 di tangan pesaing empat teratas Nottingham Forest semalam.
Pasukan Guardiola sekali lagi dikritik dalam kempen buruk mereka apabila Callum Hudson-Odoi menewaskan penjaga gol City, Ederson, pada minit ke-83.
Kekalahan kesembilan City dalam liga musim ini – kekalahan terbanyak mereka sejak 2019-20 – membuatkan mereka cemas dengan tekanan semakin memuncak dalam perebutan empat teratas.
Untuk kembali ke dalam saingan kelab elit Eropah musim depan, Guardiola tahu City perlu mencari cara untuk mengatasi kelesuan yang melanda mereka sepanjang kemerosotan yang mengejutkan itu.
“Kami perlu menang perlawanan. Kami tidak menang perlawanan yang mencukupi untuk merasa selamat. Kami ada 10 perlawanan lagi, kami perlu menang banyak perlawanan untuk layak. Inilah keadaannya.
“Untuk mencari jalan keluar, kami perlu bermain lebih baik. Kami perlu melakukan sesuatu, ia tidak datang dari langit. Sudah tentu, Itulah keadaannya.”
“Tinggal 10 perlawanan lagi, bermula dengan Brighton pada Sabtu depan, kemudian rehat antarabangsa dan kita akan lihat apa yang berlaku,” katanya.
Seiring dengan musim City yang penuh dengan kekecewaan, Ederson melakukan kesilapan pada gol kemenangan Hudson-Odoi, membenarkan bekas pemain sayap Chelsea itu melakukan rembatan.
City yang berada di tempat keempat kini ketinggalan empat mata di belakang Nottingham Forest yang berada di tempat ketiga dan hanya satu mata di hadapan Chelsea yang berada di tempat kelima.
Walaupun dalam keadaan sukar, Guardiola enggan menyalahkan Ederson atas kekalahan terbaru mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




