Kementerian Digital selaras lima agensi bangunkan AI tempatan

Kementerian Digital selaras lima agensi bangunkan AI tempatan

SHAH ALAM – Lima agensi di bawah Kementerian Digital diberi peranan khusus dalam pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) negara, merangkumi pendigitalan sektor awam, latihan kemahiran rakyat dan pengkomersialan teknologi tempatan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penyelarasan itu dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI serta Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Menurut Gobind, Belanjawan 2027 turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan berkemahiran masa hadapan bagi menyokong aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

“Kementerian Digital berperanan menyatukan kekuatan kerajaan, industri, akademia dan komuniti sebagai pemangkin ekosistem digital dan AI negara.

“Lima agensi dan entiti berkenaan ialah GovTech Malaysia, Jabatan Digital Negara (JDN), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyDIGITAL Corporation dan AI Malaysia Berhad,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, GovTech Malaysia bertanggungjawab membangunkan penyelesaian digital sektor awam menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan, termasuk mengenal pasti keperluan sebenar agensi, membangunkan prototaip, menguji serta melaksanakan penyelesaian digital dan AI merentas agensi.

Sementara itu, JDN pula memperkukuh tadbir urus pendigitalan sektor awam menerusi penyediaan dasar, piawaian, seni bina digital serta sokongan teknikal bagi memastikan sistem kerajaan dibangunkan secara selamat, bersepadu dan saling boleh kendali.

“Bagi pembangunan industri teknologi tempatan, MDEC menyokong pertumbuhan syarikat digital, pengkomersialan inovasi serta peluasan peluang pasaran kepada syarikat teknologi tempatan,” katanya.

MyDIGITAL Corporation pula menyediakan laluan pembelajaran dan penglibatan rakyat menerusi beberapa inisiatif termasuk Rakyat Digital, Global Learning Pass, AI untuk Rakyat dan Rakyat Builders.

Pada masa sama, AI Malaysia Berhad menggerakkan pelaksanaan agenda AI kebangsaan serta membangunkan ekosistem teknologi berkenaan yang selamat, dipercayai dan bertanggungjawab.

Gobind memaklumkan, kementeriannya mahu memastikan rakyat dan syarikat tempatan bukan sekadar menggunakan teknologi, sebaliknya mampu menghasilkan penyelesaian sendiri.

“Fokus utama kementerian adalah melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran bertaraf dunia agar mereka beralih daripada sekadar mengetahui teknologi kepada membina aplikasi dan penyelesaian buatan Malaysia,” katanya.

Scroll to Top