Kementerian Hak Sosial mula teliti dakwaan Yamal perguna orang kerdil

Kementerian Hak Sosial mula teliti dakwaan Yamal perguna orang kerdil

Barcelona: Bintang Barcelona, Lamine Yamal kini berdepan siasatan berhubung kehadiran sekumpulan individu bertubuh kecil sebagai penghibur di majlis sambutan hari lahirnya yang ke-18 hujung minggu lalu, menurut Kementerian Hak Sosial Sepanyol kepada AFP, hari ini.

Pemain sayap itu meraikan hari jadinya dengan satu acara tertutup di Olivella, kira-kira 50 kilometer (km) ke barat Barcelona, yang mana pihak kementerian sudah meminta pejabat pendakwa menyiasat susulan aduan daripada Persatuan untuk Individu dengan Achondroplasia dan Displasia Rangka Lain yang Berkaitan dengan Dwarfisme (ADEE).

Yamal menyambut ulang tahun ke-18 pada 13 Julai lalu, sehari selepas majlis pada malam Sabtu yang turut dihadiri ramai rakan sepasukannya serta selebriti termasuk Bizarrap dan Bad Gyal.

“ADEE sudah memfailkan aduan, maka kementerian ini meminta pejabat pendakwa menyiasat sama ada terdapat pelanggaran undang-undang dan seterusnya pencabulan hak individu kurang upaya,” kata Kementerian Hak Sosial Sepanyol kepada AFP.

ADEE secara terbuka mengecam pengambilan individu bertubuh kecil sebagai sebahagian daripada hiburan dan menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang kerana ia mengukuhkan stereotaip, menyemarakkan diskriminasi dan menjejaskan imej serta hak golongan kurang upaya.

Tetamu tidak dibenarkan merakam video ketika acara, namun satu rakaman video tular menunjukkan sekumpulan individu bertubuh kecil memasuki kawasan majlis.

“Tiada siapa tidak menghormati kami, kami dibenarkan bekerja dengan aman,” kata salah seorang penghibur kepada stesen radio Catalan, RAC1, sambil memaklumkan terdapat empat orang sepertinya hadir.

“Kami orang biasa yang menjalankan pekerjaan yang kami cintai secara sah…

“Sudah beberapa tahun individu-individu (ADEE) ini cuba merosakkan kami, mereka mahu menghalang kami melakukan apa yang kami suka, tetapi mereka sendiri tidak pernah menawarkan sebarang pekerjaan atau latihan kepada individu yang terkesan…

“Semua kekecohan ini timbul hanya kerana ia majlis hari lahir Lamine Yamal,” katanya lagi.

Penghibur itu memaklumkan mereka biasanya menari, menghidang minuman dan melakukan silap mata sebagai hiburan kepada tetamu di acara yang mereka sertai.

Penyanyi rap dari Republik Dominican, Chimbala, yang bertubuh kecil, turut memuat naik video di Instagram sedang menyanyi di atas pentas bersama Yamal, manakala rakan sepasukannya dari Barcelona, Gavi dan Alejandro Balde menari di belakang.

“Lamine Yamal kini berusia 18 tahun, pemain terbaik dunia, menyanyikan lagu saya ‘Abusadora’, terima kasih kerana menjemput saya ke (majlis hari lahir) anda,” tulis Chimbala.

Yamal turut disebut-sebut sebagai calon Ballon d’Or selepas membantu Barcelona memenangi treble domestik musim lalu iaitu La Liga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu sudah menjaringkan 25 gol untuk kelab dalam 106 penampilan sejak membuat penampilan sulungnya pada usia hanya 15 tahun pada 2023.

Wakil Yamal tidak memberikan sebarang komen apabila diminta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top