Kemiskinan tegar di Selangor berjaya dinoktahkan

Kemiskinan tegar di Selangor berjaya dinoktahkan

PETALING JAYA: Kemiskinan tegar di Selangor berjaya dinoktahkan menerusi usaha dan program yang dilakukan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Pembangunan Daerah Petaling memaklumkan kepadanya bahawa kemiskinan tegar di Selangor sudah dinoktahkan.

Beliau berkata, kerajaan akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan tiada keluarga yang tercicir dan berjaya keluar dari kemiskinan tegar.

“Lebih penting, setiap keluarga mesti diberi peluang untuk bangkit, diperkasa melalui latihan, sekali gus berupaya menjana pendapatan sendiri. Kekuatan ekonomi Selangor harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat martabat hidup rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, Program Sejahtera Madani (SejaTI MADANI) di Petaling wajar diperluas khususnya dalam membantu golongan miskin bandar.

“Inisiatif seperti program jahitan di Kampung Melayu Subang, madu kelulut di Bayu Damansara dan pembuatan perabot di Bukit Lanchong membuktikan bahawa dengan sokongan yang tepat, rakyat mampu mencipta perubahan yang bermakna, dengan menjana pendapatan antara RM24,000 hingga RM100,000.

“Insya-Allah, dengan kesungguhan semua pihak, kita akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah tertangguh, memperkukuh kekuatan sedia ada serta memastikan nikmat pembangunan ini benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat itu turut menyentuh soal pengurusan bandar dan sosial termasuk perkara berkaitan rumah ibadat, pengurusan sisa serta isu penternakan babi.

Jelasnya, semua perkara tersebut menuntut pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Tumpuan turut diberikan kepada penyenggaraan jalan raya dan kemajuan projek mitigasi banjir. Saya tekankan keperluan tindakan segera bagi mengurangkan kesulitan rakyat sementara menunggu projek tebatan banjir jangka panjang disiapkan,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top