NEW DELHI – Kemarahan rakyat India memuncak terhadap Turkiye selepas Ankara menunjukkan sokongan politik dan ketenteraan yang kuat kepada Pakistan dalam konflik terbaharu antara dua negara Asia Selatan itu, yang tercetus susulan serangan pengganas di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu.
New Delhi menyalahkan Pakistan atas serangan di Pahalgam yang meragut nyawa 26 orang awam, namun dakwaan itu dinafikan oleh Islamabad.
India kemudian melancarkan serangan udara ke atas kem militan di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan serta beberapa lokasi lain pada 7 Mei. Sebagai tindak balas, Pakistan menggunakan dron buatan Turkiye yang memasuki ruang udara India, sekali gus menyerlahkan hubungan ketenteraan erat antara kedua-dua negara.
Turkiye yang majoriti penduduknya beragama Islam dan sebelum ini cenderung menyokong pendirian Pakistan berhubung isu Kashmir, turut menyatakan sokongan politik secara terbuka kali ini.
Ankara mengecam serangan pengganas di Kashmir, namun menyifatkan tindak balas India sebagai tindakan yang boleh mencetuskan ‘perang besar-besaran’.
“Kami mengutuk langkah provokatif seperti itu serta serangan yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur awam,” kata kenyataan Turkiye sambil menyokong gesaan Pakistan agar satu siasatan antarabangsa dijalankan ke atas insiden 22 April itu.
Namun, India menolak cadangan tersebut dan menyifatkannya sebagai taktik Pakistan untuk mengelak daripada bekerjasama dalam siasatan keganasan seperti sebelum ini.
Susulan kenyataan Turkiye itu, kempen ‘Boikot Turkiye’ mula mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat India yang masih beremosi dengan konflik tersebut.
Ramai rakyatnya membatalkan percutian ke Turkiye manakala para peniaga pula enggan membeli barangan keluaran negara tersebut.
Pada 19 Mei lalu, Persekutuan Pengedar Produk Pengguna Seluruh India, yang mewakili pembekal kepada lebih 13 juta kedai runcit, mengumumkan boikot penuh dan tanpa had terhadap semua produk buatan Turkiye termasuk coklat, biskut dan barangan penjagaan kulit.
Negara lain seperti Azerbaijan turut terkena tempias kemarahan rakyat India kerana menyokong Pakistan.
China turut menjadi sasaran kempen boikot, namun tidak sehebat yang diterima Turkiye dan Azerbaijan, meskipun Beijing merupakan sekutu pertahanan utama Pakistan.
Beberapa syarikat pelancongan India melaporkan penurunan mendadak dalam tempahan ke Turkiye dan Azerbaijan.
Portal pelancongan EaseMyTrip menyatakan pembatalan ke Turkiye meningkat 22 peratus antara 10 hingga 13 Mei, manakala pembatalan ke Azerbaijan meningkat 30 peratus. Syarikat itu juga mengeluarkan nasihat perjalanan agar rakyat India menangguhkan perjalanan tidak penting ke kedua-dua negara tersebut.
Portal pelancongan lain seperti Ixigo mengambil langkah lebih drastik dengan menggantung sepenuhnya perkhidmatan tempahan ke Turkiye dan Azerbaijan, atas dasar ‘Utamakan Negara, Kemudian Perniagaan’.
Platform e-dagang seperti Flipkart, Myntra dan Ajio turut menghentikan penjualan jenama pakaian dari Turkiye, manakala pedagang juga menghentikan pembelian epal dan marmar dari negara itu. Lima universiti terkemuka di India turut menangguhkan kerjasama akademik dan penyelidikan dengan institusi pendidikan Turkiye.-Agensi