Kempen Flat Rate MBK : Lebih 3,000 saman dilunaskan hari pertama

Kempen Flat Rate MBK : Lebih 3,000 saman dilunaskan hari pertama

KUANTAN – Lebih 3,000 keping saman dilunaskan oleh pesalah trafik Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sempena hari pertama Kempen Flat Rate  pada Karnival MBK hari ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, pembayar kompaun letak kereta mengambil peluang melunaskan bayaran saman ekoran diskaun luar biasa mencecah hampir 97 peratus.

Norkamawati Kamal

“Bayaran pengurangan ditawarkan dari RM300 kepada RM10, memang berbaloi kepada semua yang ada saman trafik MBK.

“Ada yang sudah kesalahan kena kompaun dari enam tahun lepas pun ambil kesempatan bayar saman.

“Manakala rata-rata yang membayar saman kadar rata membabitkan mereka yang tiga tahun ke bawah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, katanya, hari ini sahaja kutipan mengjangkau sebanyak RM30,000 pada hari pertama.

Justeru Norkamawati berharap orang ramai boleh mengambil peluang berbaki dua hari untuk membayar saman bagi mendapatkan insentif penjimatan ini.

Program Flat Rate ini julung pertama dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-3 Bandar Raya Kuantan pada Hari Terbuka MBK kali ini.

Tawaran istimewa Flate Rate Kompaun Letak Kereta  menawarkan pengurangan kompaun RM300 kepada RM10 selama tiga hari bermula 21 sehingga 23 Ferbruari 2024.

Bayaran hanya dibuat di kaunter ibu pejabat MBK pada waktu pejabat pada tarikh berkenaan.

Untuk rekod, Kuantan mencapai status bandaraya pada 21 Februari 2021 lalu. – MalaysiaGazette