Kempen Suara Hati Bank Rakyat tawar hadiah keseluruhan RM300,000

Kempen Suara Hati Bank Rakyat tawar hadiah keseluruhan RM300,000

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sempena Ramadan dan Syawal tahun ini, Bank Rakyat melancarkan Kempen Ramadan Raya 2026 dengan tema Suara Hati.

Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, Bank Rakyat memahami bahawa pelanggan Bank Rakyat bukan sekadar mencari kemudahan dan kestabilan kewangan, mereka juga ingin didengari dan merasai erti kebersamaan.

Katanya, berpaksikan nilai-nilai ini, Bank Rakyat memperkenalkan Kempen Ramadan Raya 2026 bertemakan Suara Hati.

“Kempen Suara Hati akan berlangsung dari 19 Februari hingga 30 April 2026 terbuka untuk pelanggan yang melanggan produk Pembiayaan Peribadi-i, Kenderaan-i, Perumahan-i dan Pajak Gadai-i dengan menawarkan jumlah hadiah dan ganjaran keseluruhan bernilai lebih RM300,000.

“Antara tarikan utama ialah hadiah kereta bernilai sehingga RM200,000, yang mana pemenang diberi kebebasan untuk memilih sendiri kereta impian mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kempen Ramadan Raya 2026 di sini, semalam.

Selain itu, pelanggan turut berpeluang memenangi hadiah berupa 50 gram, 30 gram dan 20 gram emas dengan nilai anggaran keseluruhan RM70,000, pakej peralatan elektrik rumah bernilai keseluruhan RM10,000 serta hadiah sagu hati wang tunai kepada 65 orang pelanggan yang akan dikreditkan ke Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.

Bagi membantu pelanggan mengurus keperluan harian sepanjang Ramadan dan Raya, pelbagai rebat turut ditawarkan melalui Kad Kredit-i Bank Rakyat.

Beliau berkata, selari dengan konsep Suara Hati, Bank Rakyat turut memperluaskan impak kempen ini melalui pelbagai inisiatif Jangkauan Komuniti sepanjang Ramadan dan Syawal.

“Antaranya termasuk Program Kampung Angkat MADANI di Permatang Ara, Pulau Pinang dan Program Kampung Kita di Kampung Kong Kong Laut, Johor, yang melibatkan aktiviti gotong-royong, agihan bubur lambuk serta bantuan kewangan bernilai keseluruhan RM60,000 kepada keluarga asnaf, selain pengisian Ramadan seperti program tazkirah, berbuka puasa dan solat berjemaah bersama komuniti setempat,” katanya.

Menurutnya, menerusi Program Imarah Ramadan, Bank Rakyat akan menyantuni 2,000 penerima daripada keluarga asnaf di seluruh negara dengan sumbangan bakul makanan asas dengan jumlah keseluruhan RM200,000.

“Manakala inisiatif Sumbangan Kelengkapan Raya pula memberi tumpuan kepada kebajikan lebih 32 anak yatim dan asnaf daripada Pusat Jagaan Kasih Murni, Taman Keramat, Kuala Lumpur, agar mereka dapat menyambut Syawal dengan ceria seperti anak-anak lain,” katanya.

Katanya, melalui kesemua inisiatif ini, Bank Rakyat berharap agar keberkatan Ramadan dan Syawal dapat dikongsi bersama dan tiada komuniti yang rasa terpinggir, terutamanya golongan yang memerlukan.

“Suara Hati mengajar Bank Rakyat untuk memahami bukan sahaja apa yang pelanggan perlukan, tetapi juga mengapa mereka memerlukannya, dengan mendengar apa yang tersirat, bukan sekadar yang dizahirkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top