surayaroslan@mediaprima.com.my
Putrajaya: Pembantu Naib Presiden sebuah bank antara lima individu didenda masing-masing RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mengemukakan maklumat palsu ketika membuat pendaftaran kelahiran membabitkan lima bayi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, dua dan tiga tahun lalu.
Tertuduh, Tan Eek Ming, 44, dua ahli perniagaan iaitu Leong Hon Ming, 52, dan Khor Wooi Huat, 48, serta dua suri rumah, Beh Chui See, 31, dan R Nishanthi, 37, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Bagaimanapun semua tertuduh membayar denda itu.
Mengikut lima pertuduhan, mereka didakwa secara berasingan dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat Permohonan Pendaftaran Kelahiran menggunakan Borang Daftar Kelahiran (JPN.LM01) atas nama lima bayi sehingga terkeluar sijil kelahiran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, di sini pada jam 8 pagi hingga 5 petang antara 26 Mei 2023 hingga 11 Oktober 2024.
Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pegawai pendaftaran selaku pengadu bersama sepasukan anggota penguatkuasa JPN Putrajaya menahan semua tertuduh di depan pintu masuk utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam pada jam 1.30 petang, 16 Mac lalu.
Hasil siasatan mendapati, semua tertuduh dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan kelahiran atas nama lima bayi sehingga terkeluar sijil lahir dengan nombor daftar.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Zulkarnain Ahmad dan Nor Fadilah Mat Shaari manakala dua tertuduh tidak mempunyai peguam manakala tiga daripada mereka diwakili peguam.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pelajar yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Tertuduh, Ummu Salmah Mohamed Ibrahim, 25, didakwa mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan kelahiran atas nama bayi perempuan yang lahir pada 12 Ogos 2024 sehingga terkeluar sijil kelahiran di Kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, di sini, 11 September 2024.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Irza Zulaikha menetapkan 22 April ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen.
Sebelum ini, muka depan Harian Metro melaporkan pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam sindiket pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Sijil kelahiran lewat yang disediakan sindiket dipercayai dijual kepada ibu bapa mempunyai anak angkat atau anak tidak mempunyai kewarganegaraan pada nilai antara RM10,000 ke RM80,000.
© New Straits Times Press (M) Bhd



