Ketika artikel ini ditulis, Manchester United baru saja dimalukan Tottenham Hotspur dengan jaringan 0-3 di kandang keramat mereka, Old Trafford dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Sebelum itu pada 1 September lalu, di stadium yang sama, United turut dimalukan musuh ketat mereka, Liverpool dengan jaringan yang sama.
Dalam tempoh kira-kira seminggu ini, penyokong United perlu kental kerana kerap menjadi bahan lawak dan gurauan penyokong pasukan lain terutamanya Liverpool.
Seperti biasa, ayat-ayat ‘masuk dalam gua’ cukup popular ditujukan untuk penyokong pasukan yang mengalami kekalahan.
Penyokong Liverpool pula pastinya berbangga dan ‘bongkak’ dengan prestasi pasukan yang konsisten ketika ini serta mengungguli di tempat teratas Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Wolves 2-1, Ahad lalu.
Sejak dulu, Liga Perdana Inggeris memang popular dalam kalangan peminat bola sepak tanah air. Namun, hanya empat pasukan yang menjadi tumpuan dan memiliki penyokong paling ramai iaitu Liverpool, United, Arsenal dan Chelsea.
Pasukan kuat yang lain seperti Manchester City dan Tottenham turut memiliki penyokong di sini, tetapi tidaklah semeriah empat pasukan tadi.
Saya ada beberapa rakan yang menyokong Newcastle United dan Everton, tetapi saya tidak tahu adakah pasukan seperti Ipswich Town, Nottingham Forest, Bournemouth dan Brentford mempunyai penyokong di Malaysia?
Begitulah senario Liga Perdana Inggeris di sini. Kita sebagai bukan rakyat England akan menyokong pasukan yang kuat dan memiliki sejarah kejayaan.
Contohnya jika kita yang dilahir dan dibesarkan di Lenggong, Perak, takkanlah akan menyokong Crystal Palace. Lebih baik menyokong pasukan yang lebih kuat dan popular.
Namun, keadaannya mungkin berbeza jika kita memang membesar di Selhurst, Selatan London yang juga tempat kelab itu berpangkalan. Tak mustahil juga sebagai anak jati London, kita mungkin akan memilih pasukan dari Utara London seperti Arsenal atau Tottenham yang lebih gah.
Kemeriahan Liga Perdana Inggeris di sini sebenarnya lebih kepada ‘permusuhan’ penyokong Liverpool dan United. Kadang-kadang mereka pula yang ‘terlebih’ Liverpool dan United berbanding penyokong yang lahir di Manchester atau Merseyside!
Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan ini memang dinanti-nantikan penyokong. Debarannya juga lain macam. Jika kalah, silap hari bulan sanggup tidak ke pejabat keesokannya kerana tak sanggup ‘dibahan’. Selain itu, sanggup juga ‘cuti’ dari melayari media sosial atau membaca mesej dalam kumpulan WhatsApp.
Sebenarnya, ada perbezaan antara penyokong kedua-dua pasukan ini. Penyokong Liverpool di sini ramai terdiri daripada golongan agak berusia berbanding United, lebih muda.
Ini kerana Liverpool antara pasukan terkuat Eropah pada era 1970-an hingga hujung 1980-an. United pula gemilang pada era awal 1990-an di bawah kendalian Sir Alex Ferguson hingga era awal 2000-an. Dua fakta ini yang membuatkan ramai penyokong bola sepak tempatan memilih dua pasukan ini.
Turut memeriahkan sukan ini ialah aktiviti troll dalam kalangan penyokong di media sosial. Merujuk kepada Kamus Oxford, troll adalah satu perbuatan yang bersifat menyerang dan provokatif yang dimuat naik sebagai hantaran (posting) di media sosial bagi membangkitkan perasaan marah dan kecewa seseorang.
Di Facebook misalnya, ada ‘page’ Troll Bola Santai 2.0 yang diwujudkan khusus untuk peminat Liga Perdana Inggeris untuk ‘membahan’ penyokong pasukan lawan masing-masing.
Namun, aktiviti ‘page’ yang sudah memiliki lebih 30,000 pengikut itu banyak berkisar dalam kalangan penyokong Liverpool dan United saja. Masing-masing troll dan ‘membahan’ antara satu sama lain.
Inilah yang berlaku sebaik setiap perlawanan membabitkan pasukan ini berakhir. Tidak dinafikan ada sesetengah troll itu agak keterlaluan hingga menyentuh peribadi, fizikal, emosi dan sensitiviti.
Namun, apa yang menariknya, kebanyakan penyokong tidak mudah ‘koyak’ atau berang dengan situasi ini. Sebaliknya, ramai yang boleh berlapang dada dan menganggapnya hanya sekadar gurauan dan hiburan.
Setakat ini, belum ada lagi penyokong di sini bergaduh hingga membawa kepada kejadian jenayah.
Sebenarnya, hendak menjadi penyokong setia pasukan masing-masing, jiwa kena kental dan jangan mudah ‘koyak’ atau beremosi apabila menjadi bahan troll penyokong pasukan lawan.
Penulis Pengarang Hiburan, Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




