Kuala Lumpur: Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mula menguatkuasakan Perintah Khidmat Masyarakat bagi pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam, hari ini.
Langkah ini dilaksanakan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) susulan pindaan yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.
KPKT berkata, langkah itu bertujuan mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan awam.
“Perintah Khidmat Masyarakat ini mula dikuatkuasakan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Kedah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Bagi negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu, pelaksanaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bermula 1 Januari, orang ramai yang didapati bersalah membuang sampah di tempat awam berdepan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat hingga 12 jam dan denda hingga RM2,000 susulan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 atau Akta 672 dikuatkuasakan.
Menerusi undang-undang itu tiada pihak dikecualikan termasuk pelancong asing.
KPKT memaklumkan, pesalah yang disabitkan boleh menjalani aktiviti khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan termasuk mengutip sampah, menyapu, mengelap lantai, mencuci, mengecat, memotong rumput, mengalihkan bangkai dan membersihkan sarang labah-labah.
“Hukuman ini tidak menggantikan denda yang boleh dikenakan antara RM2,000 hingga RM10,000 berikutan penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat ini sebagai tambahan kepada denda dan bukan bertujuan menggantikan denda sedia ada.
“Pegawai daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan SWCorp akan memantau pelaksanaan bagi memastikan aktiviti ini dijalankan mengikut prosedur dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Katanya, hukuman bertujuan mendidik dan menanam kesedaran terhadap kepentingan kebersihan alam sekitar, bukan menghukum secara berlebihan.
Dalam kenyataan sama, KPKT memaklumkan undang-undang tidak menghendaki pesalah menghabiskan tempoh 12 jam dalam satu sesi berterusan.
“Penjadualan dan pengawasan akan ditentukan oleh pegawai yang diberi kuasa mengikut perintah mahkamah.
“Tindakan enggan, melawan, gagal mematuhi atau melarikan diri daripada Perintah Khidmat Masyarakat adalah satu kesalahan berasingan di bawah peruntukan undang-undang yang dipinda.
“Jika disabitkan kesalahan atas ketidakpatuhan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000,” katanya.
KPKT berkata, pengawasan dan penguatkuasaan akan dijalankan oleh pegawai yang diberi kuasa daripada agensi sedia ada seperti PBT di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan pegawai yang diberi kuasa yang dilantik di bawah Akta 672 termasuk pegawai dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di negeri yang menerima pakai akta itu.
“KPKT juga menetapkan mekanisme kawalan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai semasa menangkap suspek atau ketika menyelaras perintah ini.
“Tindakan mesti disokong oleh bukti sah seperti pemerhatian langsung, kenyataan saksi, bukti foto atau video seperti yang tertakluk di bawah Akta Keterangan 1950.
Katanya, pegawai yang terbabit juga tertakluk kepada peraturan tatatertib dalaman dan garis panduan pentadbiran serta Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Jenis Perkhidmatan Komuniti dan Tatacara Penyeliaan Prestasi Perkhidmatan Komuniti) 2026.
“Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat adalah untuk mendidik.
“Objektif keseluruhan langkah ini adalah untuk menanam kesedaran, tanggungjawab dan rasa hormat terhadap kebersihan alam sekitar dan bukannya menghukum secara berlebihan.
“Orang awam boleh mengemukakan aduan melalui talian 013-210 7472 (WhatsApp) atau SISPAA SWCorp di swcorp.spab.gov.my.
“Di samping itu, kerajaan juga akan terus melaksanakan kempen kesedaran kebersihan agar usaha menjadikan Malaysia bersih dan sihat sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




