am@hmetro.com.my
Kuantan: “Saya perlu sedia lebih RM50,000 bagi menggantikan 20 unit motosikal pelbagai jenama yang musnah terbakar,” kata pengusaha bengkel motosikal Mohd Zamri Ismail Abdullah, 24.
Menurutnya, pertemuan dengan pemilik motosikal terbabit akan dilakukan bagi mendapatkan keputusan terbaik bentuk ganti rugi yang perlu dijelaskan, sama ada wang tunai atau motosikal terpakai yang sama jenis.
“Pertemuan ringkas dengan pemilik motosikal diadakan sebelum ini dan rata-rata mereka menerima dengan hati yang terbuka kejadian yang berlaku dan melihat sendiri motosikal yang musnah.
“Mereka reda dan menganggap apa yang berlaku suatu kejadian tidak diduga, tujuan menghantar motosikal ke bengkel saya untuk dibaiki kerosakannya namun berlaku sebaliknya apabila musnah dijilat api,” katanya, di sini semalam.
Episod hitam itu berlaku selepas bengkel miliknya yang terletak bersebelahan rumah papan di Kampung Bukit Rangin Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan Kuantan musnah dalam kejadian kebakaran petang Khamis lalu.
Kebakaran kira-kira 6 petang itu memusnahkan bengkel motosikal dan rumah papan yang terletak bersebelahan.
Kerugian dianggarkan lebih RM250,000 apabila semua barangan tidak dapat diselamatkan.
Mohd Zamri Ismail berkata, ketika kejadian dia ke bandar Kuantan untuk membeli minyak pelincir dan beberapa alat ganti motosikal, serta menutup sementara bengkel pada 5.30 petang.
Katanya, selepas kira-kira 30 minit meninggalkan bengkel dia mendapat panggilan telefon ibu saudaranya menyatakan bengkelnya terbakar dan api sedang marak, usaha memadam kebakaran dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Dalam masa kira-kira 10 minit bengkel saya dan rumah keluarga musnah 100 peratus dijilat api, tidak ada apa yang dapat diselamatkan termasuk 25 unit motosikal pelbagai jenama.
“Saya reda dengan apa yang berlaku, dalam sekelip mata harta yang ada musnah dijilat api. Selain pelbagai barangan, minyak pelincir dan alat ganti turut musnah wang tunai lebih RM600 hasil bayaran pelanggan.
“Selepas 10 tahun mengusahakan bengkel motosikal, kejadian ini meragut seluruh semangat untuk berjaya dalam perniagaan,” katanya yang kerugian lebih RM100,000.
Mohd Zamri Ismail berkata, kesudian rakannya yang turut mengusahakan bengkel motosikal menawarkan diri untuk membantu membaiki dan mengecat semula empat motosikal Yamaha Y15 yang terbakar sedikit melegakannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd