MELAKA: Keputusan kerajaan mengumumkan kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 per metrik tan berkuatkuasa semalam cukup melegakan para pesawah di Paya Luboh dan Seberang Gajah, Tangga Batu di sini.
Rata-rata mereka menyifatkan keputusan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin adalah wajar dan tepat pada waktunya.
Seorang pesawah, Suhaimi Mustafa, 60, berkata, perkara itu sudah lama ditunggu oleh mereka dan ia membuktikan kerajaan Persekutuan prihatin terhadap nasib petani di negara ini.
Menurutnya, kenaikan SSHP dapat membantu membeli baja dan racun serta meningkatkan pengeluaran dan jualan padi selepas ini.
“Alhamdulillah bagi tiga hektar padi yang saya usahakan secara tidak langsung juga dapat menambah pendapatan berbanding pada harga RM360 per metrik tan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Seorang lagi pesawah, Sabri Yusof, 57, berkata, kenaikan sebanyak RM140 itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan seluruh pesawah di Paya Luboh dan Seberang Gajah menyambut baik keputusan berkenaan.
“Kenaikan ini dapat membantu pesawah meningkatkan hasil pengeluaran padi, selain itu ia dapat membantu mengurangkan kos kenaikan input pertanian seperti baja dan racun,” katanya yang mengusahakan kawasan penanaman seluas 6.07 hektar.
Bagi Abdul Wahab Miran, 69, pula, inisiatif itu adalah wajar memandangkan kos sara hidup ketika ini begitu tinggi, selain harga baja dan racun yang naik mendadak.
“Kenaikan ini dapat menampung kos mengusahakan tanaman padi dan memberikan pendapatan yang sedikit lebih buat saya menyara keluarga selepas bersara,” katanya. – UTUSAN




