suliati@hmetro.com.my
Setiap anak dilahirkan dengan kreativiti tersendiri.
Kreativiti bukan sekadar kebolehan melukis atau mencipta sesuatu, malah ia turut membentuk cara anak berfikir, menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dalam kehidupan seharian.
Justeru, peranan ibu bapa sebagai pendorong amat penting bagi memastikan kreativiti anak dapat dijana secara maksimum sejak usia kecil.
Tips ini mungkin membantu dalam menjana kreativiti anak.
Galakkan anak berdikari
Beri peluang kepada anak untuk mencuba menyelesaikan masalah sendiri terlebih dahulu.
Dengan memberi peluang ini, anak akan belajar berfikir secara kritis, berani mencuba dan lebih yakin terhadap kebolehan diri sebelum menerima bantuan orang lain.
Biarkan anak berimaginasi
Ibu bapa boleh merangsang pemikiran kreatif anak melalui aktiviti harian yang ringkas.
Contoh, ketika membacakan buku cerita, bacalah separuh daripada jalan cerita dan minta anak menghabiskannya mengikut imaginasi mereka sendiri.
Dalam aktiviti melukis atau mewarna pula, galakkan anak menghasilkan karya berdasarkan idea sendiri tanpa terlalu terikat dengan contoh sedia ada.
Kebebasan ini membantu anak mengekspresikan diri secara kreatif dan unik.
Elakkan sikap terlalu negatif
Sikap terlalu tegas boleh membentuk disiplin, namun jika berlebihan, ia berpotensi menghalang kreativiti serta keupayaan anak menyelesaikan masalah.
Jadi, elak komen atau perbandingan negatif kerana ia boleh menjejaskan keyakinan diri anak, sekali gus membuatkan mereka takut untuk mencuba perkara baharu atau berdepan cabaran.
Sediakan sumber yang sesuai
Hadkan masa menonton televisyen atau menggunakan komputer, sebaliknya galakkan permainan yang memerlukan kreativiti seperti tanah liat, balok, permainan binaan, permainan seni bina atau buku mewarna.
Pemberian mainan juga perlu bersederhana kerana terlalu banyak pilihan boleh menyebabkan anak cepat bosan.
Selain itu, persekitaran yang menarik dan kreatif turut memainkan peranan, antaranya dengan menggunakan warna-warna ceria seperti kuning atau oren di bilik anak bagi merangsang minat dan imaginasi mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




