Kenali Mpox dan Cara Melindungi Anda dan Keluarga

Kuala Lumpur: Menjelang musim cuti akhir tahun yang bakal tiba, pastinya rakyat Malaysia sudah ternanti-nanti percutian yang telah direncana, meneroka destinasi baharu dan bertemu dengan orang tersayang. Walau bagaimanapun, di sebalik keterujaan itu, adalah penting untuk sentiasa berwaspada terhadap kebimbangan kesihatan yang berlaku di Asia dan Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Mpox sebagai ancaman kesihatan global[1]. Ia kekal sebagai risiko, dengan lonjakan kes baru-baru ini menekankan keperluan untuk kesedaran, pencegahan dan mengetahui langkah yang perlu diambil sekiranya terdedah. Walaupun secara umumnya penyakit Mpox ini kurang kritikal dan kurang berjangkit jika dibandingkan dengan cacar, adalah penting untuk menekankan kepentingan kekal cakna dan bersedia bagi memastikan musim cuti yang selamat dan sihat.

Dr Aaron Lai Kuo Huo, Pakar Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, menerangkan tentang penyakit ini termasuk cara-cara jangkitan, gejala, langkah pencegahan, dan beberapa salahtanggapan mengenainya.

 

Mengenali Mpox

Mpox tergolong dalam keluarga virus Orthopoxvirus yang merangkumi cacar dan cacar lembu. Walaupun Mpox mempunyai persamaan dengan cacar, ia masih wujud, terutamanya di rantau Afrika Tengah dan Barat. Virus ini mempunyai dua clade utama iaitu Clade 1 (endemik di Afrika Tengah) dan Clade 2 (endemik di Afrika Barat).

Dr Aaron menjelaskan, “Wabak yang sedang berlaku di Afrika adalah disebabkan oleh strain Clade 1, yang dikenali dengan kadar jangkitan lebih tinggi dan gejala lebih teruk seperti lesi kulit yang jelas dan masalah pernafasan. Varian baharu, Clade 1b, semakin meningkat akibat pertambahan jangkitan manusia ke manusia dan keupayaannya untuk mengelak daripada dikesan oleh sistem imun. Strain ini perlu dipantau dengan teliti kerana ia boleh menjejaskan keberkesanan vaksin dan mengakibatkan kadar komplikasi yang lebih tinggi termasuk lesi kulit yang teruk, kesukaran bernafas, dan juga melibatkan organ.”

 

Jangkitan dan Pencegahan

Mpox berjangkit terutamanya melalui sentuhan fizikal dengan orang yang dijangkiti atau objek yang tercemar. “Virus ini berjangkit melalui sentuhan secara langsung dengan cecair badan, lesi kulit, atau titisan pernafasan semasa kontak bersemuka yang lama,” kata Dr Aaron. Virus juga boleh disebarkan dengan berkongsi barangan peribadi seperti tuala atau pakaian dengan orang yang dijangkiti.

“Satu lagi cara jangkitan adalah melalui hubungan seksual,” tambah Dr Aaron. Mpox juga boleh berjangkit dari haiwan kepada manusia melalui kontak secara langsung dengan haiwan yang dijangkiti di kawasan endemik[2]. Tambahnya, cara paling berkesan untuk mencegah penularan adalah dengan mengelakkan sentuhan kulit ke kulit, berkongsi barangan peribadi dengan individu yang dijangkiti, terutamanya mereka yang menunjukkan simptom yang nyata seperti ruam atau lesi kulit, serta menjaga kebersihan tangan dengan baik.

 

Gejala yang Perlu Diperhati

Gejala Mpox agak mudah dikesan dan dapat membantu mencegah penularan selanjutnya apabila timbul ruam melepuh dengan umbilikasi pada kulit.

“Gejala awal termasuk symptom seakan selesema seperti demam, sakit kepala, sakit otot, dan bengkak nodus limfa.  Ini diikuti dengan ruam yang muncul selepas satu hingga tiga hari selepas demam. Ruam bermula pada bahagian muka dan merebak kepada kaki dan tangan, serta menjadi bertambah buruk. Bermula dengan ruam yang rata, ia kemudian membengkak menjadi benjolan, lepuh, dan lesi bernanah yang boleh menyebabkan kuping. Dalam sesetengah kes, ruam boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan sekunder bakteria, dan ini akan memburukkan lagi keadaan,” terang Dr Aaron.

Langkah-Langkah Jika Terdedah kepada Mpox

Langkah-langkah yang perlu diambil jika anda mengesyaki anda telah terdedah kepada Mpox

  • Mengasingkan diri dengan segera untuk mencegah penyebaran virus.
  • Dapatkan nasihat perubatan daripada kakitangan kesihatan untuk ujian dan diagnosis.
  • Elakkan kontak, terutamanya dengan golongan berisiko, termasuk individu yang kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised), wanita hamil, dan kanak-kanak.
  • Maklumkan kakitangan kesihatan tentang kebarangkalian pendedahan supaya mereka dapat memberikan penjagaan yang sesuai.

“Ujian untuk mengesan Mpox biasanya melibatkan calitan dari lesi kulit atau nasofaring. Seterusnya, kes akan dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan untuk pengesanan kontak. Elakkan kontak rapat dengan orang lain sehingga diagnosis disahkan dan gejala telah pulih,” nasihat Dr Aaron.

 

Penjagaan Lanjut untuk Individu yang Terdedah

Sesetengah individu lebih berisiko terhadap Mpox.  Ini termasuk individu yang mempunyai sistem imun yang lemah, wanita hamil, kanak-kanak, dan individu yang mempunyai ramai pasangan seksual.

“Risikonya lebih tinggi untuk wanita hamil kerana Mpox boleh menjejaskan ibu dan bayi dalam kandungan kerana virus boleh terjangkit semasa hamil. Ini boleh menyebabkan keguguran, kematian bayi dalam kandungan, atau kelahiran pramatang,” jelasnya.

Mpox juga boleh ditransmisikan semasa bersalin jika ibu mempunyai lesi kulit yang aktif, atau selepas bersalin melalui sentuhan semasa menyusu atau menjaga bayi.  Oleh itu, langkah berjaga-jaga sememangnya perlu diberikan perhatian[2].

Rawatan dan Vaksinasi

Pada masa ini, tiada ubat antiviral khusus untuk Mpox[1]. “Kebanyakan pesakit Mpox pulih tanpa kemasukan hospital.   Ini kerana penjagaan sokongan seperti ubat tahan sakit, pengurusan demam dan hidrasi boleh membantu menguruskan gejala Mpox dan komplikasinya,” kata Dr Aaron.

Bagi pesakit yang mengalami gejala yang teruk, ubat antiviral boleh membantu menghalang virus daripada merebak dalam badan. Bagaimanapun, Dr Aaron menjelaskan bahawa rawatan ini biasanya dikhaskan untuk kes-kes yang lebih rumit, termasuk jangkitan sekunder bakteria, masalah pernafasan, komplikasi mata, dan juga jangkitan bakteria yang kuat.

Selain daripada ubat antiviral, pesakit Mpox yang mengalami masalah pernafasan atau komplikasi yang melibatkan mata yang teruk mungkin memerlukan penjagaan yang lebih khusus[3]. Titisan mata antiviral boleh membantu mencegah kehilangan penglihatan pada kes di mana virus merebak ke mata pesakit.  Ini menunjukkan bahawa intervensi awal adalah faktor utama untuk mengelakkan kerosakan jangka panjang[4].

Vaksinasi juga memainkan peranan penting untuk mencegah daripada jangkitan Mpox. “Vaksin yang pada asalnya dibangunkan untuk menghalang cacar adalah 85 peratus berkesan terhadap Mpox,” tambah Dr Aaron.

Menangani Salahtanggapan

Terdapat beberapa miskonsepsi tentang Mpox. Antara mitos tersebut ialah Mpox hanya menjejaskan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis. “Walaupun kadar jangkitan mungkin lebih tinggi dalam komuniti ini, Mpox boleh menjejaskan sesiapa sahaja melalui kontak rapat, tanpa mengira kecenderungan seksual,” terang Dr Aaron.

Satu lagi salah faham yang lazim ialah Mpox sama bahayanya dengan cacar[5] atau boleh dijangkiti dengan mudah seperti COVID-19[6]. “Walaupun Mpox boleh menjadi serius, terutamanya bagi kumpulan yang mudah terdedah, kadar kematiannya jauh lebih rendah berbanding cacar,” kata Dr Aaron. Kebanyakan kes adalah ringan dan boleh sembuh dengan sendiri.

Menurut Persatuan Mikrobiologi Amerika, Mpox selalunya dijangkiti melalui kontak rapat dan titisan pernafasan semasa interaksi yang panjang, dan bukannya melalui udara seperti COVID-19.  Hal ini menyebabkan kebarangkalian Mpox menjadi pandemik global adalah rendah, sementelah pula vaksin untuk membantu mengawal penyebarannya juga sudah tersedia[7].

 

Langkah Mengawal Penularan Wabak

Bagi mengawal penyebaran Mpox, pihak berkuasa kesihatan awam telah melaksanakan beberapa langkah utama, termasuk:

  • Kawalan sempadan dan saringan di lapangan terbang dan pelabuhan.
  • Kesiapsiagaan dalam fasiliti penjagaan kesihatan dengan penyediaan langkah-langkah saringan dan pengasingan.
  • Pemantauan kes, pengasingan, dan pengesanan kontak untuk mencegah penularan selanjutnya.
  • Vaksinasi untuk kumpulan berisiko tinggi, seperti kakitangan penjagaan kesihatan dan kontak rapat bagi kes-kes yang telah disahkan.

Usaha sedang giat dilakukan untuk memastikan ketersediaan vaksin bagi mereka yang paling memerlukan[2].

Memahami virus, cara ia menjangkiti, dan langkah-langkah untuk mencegahnya adalah kunci penting untuk mengurangkan impaknya.

“Paling utama, sentiasa peka dan ambil maklum mengenai penyakit ini dan ikuti langkah-langkah pencegahan yang disyorkan bagi melindungi diri anda dan orang tersayang,” kata Dr Aaron.

Dr Aaron Lai Kuo Huo,
Pakar Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Sunway
Bandar Sunway

Scroll to Top