Kuala Lumpur: Kenanga Investment Bank Bhd memperoleh lapan peratus kepentingan dalam firma teknologi kewangan (fintech) Singapura, Helicap Pte Ltd pada harga yang tidak didedahkan.
Helicap memiliki dan mengendalikan platform pelaburan yang mengkhususkan dalam kredit swasta di Asia Tenggara dan syarikat itu mempunyai enjin analisis kredit proprietari.
Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank, Datuk Chay Wai Leong berkata, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada langkah untuk memajukan lagi inisiatif pendigitalan bank pelaburan berkenaan.
“Teknologi proprietari Helicap berpotensi untuk diserapkan ke dalam perniagaan perbankan pinjaman dan pelaburan Kenanga untuk menyediakan ketelusan dan analisis buku pinjaman yang lebih besar, pemantauan risiko portfolio dan kredit serta data peringkat butiran untuk mengenal pasti peluang baru muncul dan mendapatkan pandangan mikroekonomi,” katanya.
Pelaburan oleh Kenanga dibuat melalui dana yang diuruskan oleh cabang pengurusan asetnya, Kenanga Investors Bhd, membentuk pusingan pembiayaan Siri B Helicap.
Kenanga adalah pelabur utama bersama Saison Capital Pte Ltd, cabang modal teroka Credit Saison, salah satu syarikat kewangan bukan bank terbesar di Jepun.
Pegangan Kenanga boleh ditingkatkan lagi dalam masa terdekat kepada kira-kira 10 peratus, menjadikannya pelabur institusi terbesar dalam Helicap.
Pelaburan itu adalah yang terbaharu oleh bank pelaburan bukan disokong oleh bank dalam ruang fintech.
Kenanga telah melabur dalam firma pembrokeran saham dalam talian, Rakuten; platform pembiayaan rantaian bekalan, CapBay; pertukaran mata wang kripto, Tokenize Malaysia; dan perniagaan perkhidmatan wang Merchantrade.
“Perkongsian yang dipertingkatkan dengan Helicap akan membolehkan kami memanfaatkan rangkaian globalnya sebagai sumber modal luar pesisir serta memudahkan usaha pemulaan bersama dan pensindiketan perjanjian di Singapura dan Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Datuk Ismitz Matthew De Alwis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




