Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan lagi harga bahan api kerana langkah tersebut berisiko memberi tekanan besar terhadap kedudukan fiskal negara, memandangkan subsidi petrol dan diesel kini mencecah kira-kira RM40 bilion setahun.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, desakan supaya harga minyak terus dikurangkan sering kali tidak mengambil kira beban subsidi yang ditanggung kerajaan bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Menurut beliau, Malaysia masih tersenarai antara negara yang menawarkan subsidi bahan api secara meluas walaupun negara tidak bergantung sepenuhnya kepada pengeluaran petroleum domestik.
“Saya tidak tahu kenapa masih ada yang mengatakan saya tidak turunkan harga minyak. Orang tanya kenapa kita tidak kurangkan lagi harga minyak. Tetapi siapa yang akan bayar?
“Ada yang kata harga petrol perlu diturunkan kepada RM1.50 seliter, tetapi apabila kita cadangkan RM1.50 dahulu, harga petrol di Arab Saudi ketika itu sekitar 50 sen seliter,” katanya pada Sesi Libat Urus Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah, Universiti Islam Selangor (UIS), hari ini.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, walaupun Malaysia masih mengimport hampir separuh daripada keperluan petroleum negara, pengguna terus menikmati harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter hasil subsidi yang disediakan kerajaan.
Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan beberapa negara pengeluar minyak utama yang tetap menjual bahan api pada kadar lebih tinggi.

“Di negara seperti Arab Saudi, harga petrol kini sekitar RM2.40 hingga RM2.50 seliter walaupun mereka antara pengeluar minyak terbesar dunia.
“Di Malaysia, setiap kali mengisi minyak kenderaan, terdapat subsidi kerajaan yang terlibat,” jelasnya.
Artikel lain: Segera bertindak lindungi mangsa! PM Anwar gesa tak sorok kes buli demi imej sekolah
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu memastikan keseimbangan antara usaha membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup dan mengekalkan kedudukan kewangan negara yang mampan.
“Kita tidak mahu terus menambah hutang negara hanya untuk mengurangkan harga minyak lebih rendah.
“Kita perlu seimbangkan antara membantu rakyat hari ini dan memastikan kewangan negara kukuh pada masa depan,” tambahnya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia (Hafiz Saidina)




