Kenapa lama sangat di laut, bila abi nak balik…

am@hmetro.com.my

Dungun: “Kenapa lama sangat, bila abi nak balik,” itu pertanyaan yang sering dilontarkan Putra Yusof Amin Sabrie, 6, selepas bapanya dikhuatiri hilang selepas bot gentian kaca dinaiki terbalik di perairan Pulau Tenggol, sejak lima hari lalu.

Ibu kanak-kanak itu, Amira Syahida Mat Hassan, 30, berkata, setiap kali anak bongsunya itu bertanya menyebabkan hatinya sangat sedih dan akan menangis.

Surirumah itu berkata, anaknya menyangka bapanya, Sabrie Rusli, 32, hanya keluar ke laut seperti biasa dan akan pulang ke rumah selepas menangkap ikan.

“Setiap pagi, dia menangis mencari ayahnya itu, tidak putus bertanya bila ayahnya akan balik kerana sangat merinduinya.

“Dia tak faham apa yang berlaku. Dia ingat abi pergi menangkap ikan macam selalu dan kadangkala suami saya pergi menangkap ikan atau candat sotong selama tiga hari, sebab itu dia fikir abi belum selesai menangkap ikan,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kuala Dungun, di sini, hari ini.

Amira Syahida berkata, dia hanya mampu memujuk dan meminta anaknya terus berdoa supaya bapanya segera ditemui.

Katanya, dua lagi anaknya Putri Azzahra, 12, dan Putri Ayumi, 10, sudah memahami apa yang berlaku.

Menurutnya, mereka empat beranak menunggu di PKTK ini setiap hari dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam untuk mendapatkan maklumat daripada pasukan penyelamat.

Amira Syahida berkata, dia percaya suaminya hanyut dan sangat yakin Sabrie masih hidup dan akan ditemui tidak lama lagi.

“Kadang-kadang saya ternampak kelibat suami datang berjalan ke arah saya. Saya masih menaruh harapan dia akan pulang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi pencarian hari kelima hari ini, merangkumi kawasan seluas 108.8 batu nautika persegi sekitar perairan Pulau Tenggol.

Menurutnya, operasi disertai 76 anggota pasukan penyelamat termasuk Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta dibantu nelayan tempatan.

“Operasi turut membabitkan dua bot Maritim Malaysia iaitu KM Juju dan Perkasa 49, empat bot milik bomba, polis dan APM.

“Selain itu, pasukan selam APM dan polis turut melakukan selaman dengan dibantu pasukan selam persendirian yang membawa ‘Remotely Operated Vehicle’ (ROV),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top