Cik Bunga pun terkejut apabila mendapat tahu pelakon Malek McCrone rupa-rupanya sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya pada 9 Oktober lalu di Batu Pahat, Johor.
Pandai sungguh Malek menyimpan rahsia.
Tidak ada pula kedengaran sebarang khabar angin sebelum ini. Tahu-tahu sahaja pelakon itu sudah selamat melangkah ke alam perkahwinan.
Apa-apa pun, Cik Bunga tumpang gembira. Semoga ikatan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat dan rumah tangga yang dibina sentiasa dilimpahi kebahagiaan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Namun begitu, dalam kegembiraan menerima berita perkahwinan tersebut, timbul pula satu persoalan yang menjadi tanda tanya dalam kalangan netizen dan warga industri hiburan.
Mengapa Malek begitu berahsia sehingga wajah wanita yang kini bergelar isterinya itu pun tidak dikongsikan kepada umum?
Cik Bunga difahamkan, ada beberapa foto majlis perkahwinan yang dikongsikan Malek bersama pihak media. Namun, gambar-gambar berkenaan langsung tidak memperlihatkan wajah isterinya.
Amboi, Malek! Bukan main lagi menyimpan rahsia. Bukan setakat kisah cinta sebelum berkahwin berjaya disorokkan, wajah suri hati yang sudah sah menjadi teman hidup pun masih menjadi misteri.
Sudah tentu keadaan itu mengundang rasa ingin tahu. Maklumlah, apabila seseorang selebriti mendirikan rumah tangga, peminat pastinya mahu turut berkongsi kegembiraan, sekali gus mengenali wanita yang berjaya menawan hati artis kesayangan mereka.
Bagaimanapun, selepas Cik Bunga menyelidik cerita di sebalik perkara itu, rupa-rupanya keputusan untuk tidak mendedahkan wajah isteri bukanlah datang daripada Malek sendiri.
Sebaliknya, difahamkan, perkara tersebut merupakan tuntutan serta keputusan pihak keluarga wanita berkenaan.
Jika benar begitu, mungkin Malek sekadar menghormati permintaan keluarga isterinya. Cik Bunga faham, soal keluarga dan privasi bukan perkara yang boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila melibatkan permulaan kehidupan baharu sebagai suami isteri.
Namun, pada masa sama, Cik Bunga tertanya-tanya juga. Bukankah Malek seorang anak seni yang turut dikenali sebagai figura awam? Tentunya pihak keluarga wanita itu juga maklum bahawa kehidupan seseorang selebriti tidak mudah terlepas daripada perhatian masyarakat dan lensa kamera. Betul tak? Apa-apa pun, Cik Bunga tidak mahu membuat sebarang andaian melulu.
Jika benar itu permintaan keluarga, biarlah keputusan berkenaan dihormati selagi tidak menjejaskan sesiapa.




