Kenapa orang Islam lantang bersuara tegur kemungkaran?

Kenapa orang Islam lantang bersuara tegur kemungkaran?

 لُعِنَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِیۤ إِسۡرَ ٰ⁠ۤءِیلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِیسَى ٱبۡنِ مَرۡیَمَۚ ذَ ٰ⁠لِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ یَعۡتَدُونَ (78) كَانُوا۟ لَا یَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرࣲ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُوا۟ یَفۡعَلُونَ (79) تَرَىٰ كَثِیرࣰا مِّنۡهُمۡ یَتَوَلَّوۡنَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ۚ لَبِئۡسَ مَا قَدَّمَتۡ لَهُمۡ أَنفُسُهُمۡ أَن سَخِطَ ٱللَّهُ عَلَیۡهِمۡ وَفِی ٱلۡعَذَابِ هُمۡ خَـٰلِدُونَ (80) 

Advertisement

“Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lisan Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.

“Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.

“Engkau melihat ramai daripada mereka menjadikan orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka).”

(Al-Māʾidah: 78-80)

Orang Islam menegur secara terbuka terhadap kemungkaran kerana dalam al-Quran, Allah S.W.T menyatakan bahawa kaum Bani Israil dilaknat oleh para Nabi disebabkan oleh sikap berdiam diri dan pasif mereka terhadap kemungkaran yang dilakukan.

Tahap atau wasilah mencegah kemungkaran, sepertimana yang dijelaskan dalam sabda Rasulullah S.A.W ada tiga:

1. Dengan tangan, simbolik kepada kuasa yang dapat digunakan untuk cegah kemungkaran. Dalam konteks ini ialah pihak kerajaan dan pihak berautoriti.

2. Dengan lisan, simbolik kepada hak bersuara. Pihak pembangkang dan rakyat berhak bersuara untuk menyatakan bantahan terhadap kemungkaran.

3. Dengan hati. Inilah tahap yang paling rendah dan selemah-lemah iman, iaitu membenci dengan hati, apabila orang beriman tiada kuasa dan mulut terkunci, maka wasilah yang tinggal hanyalah hati untuk membenci kemungkaran.

Mafhumnya, sekiranya tangan tidak bertindak, mulut tidak bersuara, hati pula tidak membenci bahkan membela pula kemungkaran, maka apa lagi bahagian iman yang ada dalam diri?

Orang Islam bersuara terhadap kemungkaran dan kemaksiatan kerana mahu melindungi golongan mereka daripada api neraka:

 یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ قُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِیكُمۡ نَارࣰا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَیۡهَا مَلَـٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظࣱ شِدَادࣱ لَّا یَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَاۤ أَمَرَهُمۡ وَیَفۡعَلُونَ مَا یُؤۡمَرُونَ (6) یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ لَا تَعۡتَذِرُوا۟ ٱلۡیَوۡمَۖ إِنَّمَا تُجۡزَوۡنَ مَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (7) 

“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

“Malaikat itu akan berkata kepada orang yang dimasukkan ke dalam neraka): “Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan”.”

(At-Taḥrīm: 6-7)

Mesej kepada ahli maksiat yang terdiri daripada orang kafir, fasiq dan munafik, mohon janganlah terasa hati dengan teguran orang beriman, sama ada teguran mereka itu dirasakan lembut atau kasar.

Kerana mereka hanya sekadar bersuara pada tahap kedua iaitu mencegah kemungkaran dengan lisan.

Dan anda sebagai ahli maksiat, anda masih lagi boleh teruskan kemaksiatan anda sepuas-puasnya, kerana pesta kemaksiatan anda tidak akan dicegah oleh pihak berautoriti.

Ya. Orang beriman tidak mempunyai tangan atau kuasa untuk mencegah program maksiat.

Mereka hanya sekadar mampu bersuara dan membenci dengan hati, tetapi mereka tiada kuasa untuk membatalkan program maksiat.

Hanya hak bersuara sahajalah yang digunakan untuk menyatakan bantahan.

Jadi ahli maksiat tidak perlu bimbang apa-apa pun sebenarnya, kerana mereka tetap mampu meneruskan kegiatan maksiat mereka.

MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN – HARAKAHDAILY 27/11/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0P6x7ZoVhthrqhRyrkpZd2LdeeYPLSzFyJskFU6G4w7TgCcXaPyA8RSK4sBUFiyUWl&id=100037427422204&mibextid=UyTHkb 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Scroll to Top